Didalam Islam,Saa`dah didefinasikan sebagai bahagia atau kebahagiaan.Islam merungkai persoalan kebahagiaan ini menerusi pelbagai cabang dan telah dibahaskan ramai cendiakawan-cendiakawan Islam menerusi pendekatan Al-Quran dan As-Sunnah. Dari sudut Al-Quran, konsep kebahagiaan atau happiness ini amat berkait rapat dengan soal keselamatan( Salvation) sehinggakan didalam Al-Quran sendiri keselamatan(Salvation) ini dirujuk didalam beberapa perkataan yang membawa maksud yang sama dengannya seperti najah (keberkatan), fawz(kejayaan), falah(kemakmuran) dan saa`dah (kebahagiaan).[1]
KUPASAN KONSEP SAADAH DARI KACA MATA AL-QURAN
Sesungguhnya konsep keselamatan ini saling berhubungan dengan kepatuhan penganutnya terhadap ajaran Islam.Al-Quran membahagikan unsur keselamatan ini kepada dua bahagian utama yang merujuk kepada keselamatan hidup di dunia dan kehidupan di akhirat yang bakal diharungi kelak oleh semua umat manusia yang berkait terus dengan aspek kebahagiaan yang hakiki.Keselamatan hidup didunia biasanya dilihat dari bebasnya manusia daripada penindasan,ketidakadilan dalam sistem kehidupan,hidup yang dirundung dengan kesedihan berpanjangan dan malapetaka yang membinasakan serta sebarang bentuk kecaman dan penderaan sama ada fizikal mahupun seksual.
Sesungguhnya,bentuk-bentuk kebahagiaan dan keselamatan di dunia ini merupakan satu anugerah Allah kepada umat manusia berdasarkan keimanan,kepatuhan dan amal soleh yang mereka kerjakan.Allah telah berfirman didalam Al-Quran :
“ Dan ketika azab Kami datang,Kami selamatkan Hud dan orang-orang beriman bersama dia dengan rahmat Kami.Kami selamatkan (pula) mereka (di akhirat) dari azab yang berat”[1]
“Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman kerana mereka adalah orang-orang yang bertakwa”[2]
Keselamatan hidup di akhirat pula dirujuk apabila manusia itu terselamat daripada azab siksa dan hukuman Allah yang Maha Dahsyat di atas setiap perbuatan yang dilakukan semasa didunia,bahkan ia merupakan suatu ganjaran disisi Allah kepada umat manusia yang melakukan amal soleh semasa hidup di dunia. Allah SWT juga berfirman di dalam Al-Quran:
“ Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas (maksudnya),orang-orang kafir berkata kepada orang-orang beriman, “ Manakah di antara kedua golongan yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih indah tempat pertemuan(nya)?”[3]
Muhammad Abul Quasem menyatakan di dalam buku karangannya [4],keselamatan di dalam kehidupan turut merujuk secara jelas kepada apa yang diperkatakan Al-Quran dan konsep asal keselamatan yang difahami disini adalah termasuk dengan perkara-perkara sam`iyyat yang hanya diketahui di dalam Al-Quran dan juga dari nabi-nabi yang diutuskan Allah sebagai penegak kebenaran dan pencegah kebatilan di dalam kehidupan manusia.
Secara amnya, Al-Quran menggariskan unsur keselamatan dan kebahagiaan di akhirat kepada dua perbincangan utama iaitu keselamatan dan kesengsaraan manusia yang melibatkan jasad dan rohani serta tahap keselamatan dan kesengsaraan hidup yang bakal dilalui oleh manusia itu sendiri berdasarkan amal soleh dan perlakuannya di dunia.
Keselamatan dan kebahagiaan manusia di akhirat bergantung kepada perlakuan jasad dan rohaninya dimana unsur rohani memainkan peranan penting dalam menggerakkan jasad dan bertindak suis kepada kehidupan seseorang manusia.Apabila baik rohaninya,maka baiklah keseluruhan perlakuannya yang digerakkan oleh jasadnya.Namun apabila buruk aspek rohaninya,maka buruklah pula akhlaknya yang terzahir menerusi cerminan lakonan jasad manusia itu tadi.
Setelah itu,segala puncak keselamatan hidup manusia akan terhitung dengan bermulanya saat kematian dan menempuh kehidupan di alam barzakh seterusnya ke Hari Pengadilan dan Pembalasan di atas setiap amalan kebajikan yang dilakukan manusia yang bakal menentukan sama ada manusia itu akan ditempatkan di syurga yang hakiki ataupun dicampakkan ke dalam neraka Jahannam seperti firman-firman Allah di dalam Kitabnya :
“ Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan,mereka itulah penghuni syurga.Mereka kekal di dalamnya”[7]
Perhitungan itulah yang bakal menjamin keselamatan manusia itu dan membawa sama ada kepada kebahagiaan( saa`dah ) yang hakiki ataupun kesengsaraan yang abadi seperti yang dinyatakan di dalam banyak ayat-ayat Allah di dalam Kitabullah.
[1] Surah Hud Ayat 58
[2] Surah Fussilat Ayat 18
[3] Surah Maryam Ayat 73
[4] Salvation of the Soul and Islamic Devotions
[5] Barzakh merujuk kepada tempat atau keadaan orang setelah mati sampai ia dibangkitkan pada hari kiamat.
[6] Surah Al-Mukminun Ayat 100
[7] Surah Al-Baqarah Ayat 82
0 comments:
Post a Comment
komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..