Pages

Showing posts with label ar-ruhaniyyah al-ijtima`iyyah. Show all posts
Showing posts with label ar-ruhaniyyah al-ijtima`iyyah. Show all posts
Saturday, December 10, 2011

sembang-sembang hati ke hati..

IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS AND MERCIFUL

Hati yang tetap perlu berhati-hati..


Menjadi sebutir bintang bersinar,pastinya mehnah dahsyat dan tidak tergambar dek akal.. masa itu..seorang hamba pasti mencari Tuhannya,bukan?tidak kiralah dia orang yang tajam kefahaman agamanya,mahupun hanya sederhana atau dia orang yang mungkin kelihatan jauh dari DIA..Tapi masa itu,fitrah hati meronta-ronta mencari dimana tuhan,kenapa aku mesti Kau pilih untuk diuji sebegini?

Terus-terusan hati sang hamba meronta-ronta,meminta-minta..

Friday, August 5, 2011

martabat puasa

gambar hiasan- ihsan encik google

Ibadah berpuasa  di bulan Ramadhan merupakan kewajipan yang dituntut keatas setiap umat islam yang telah mumayiz setahun sekali. Namun, secara praktikalnya, anak-anak kecil turut dibiasakan dengan latihan ini oleh ibu bapa sejak mereka masih kecil agar kebiasaan ini bakal mendorong mereka untuk sentiasa menitikberatkan rukun Islam yang ketiga ini kelak di masa depan. 

sekadar hiasan- ihsan encik google

 Puasa ertinya menahan diri dari lapar dan dahaga  serta perkara-perkara yang menggangu kesempurnaan puasa dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari. Dalam konteks menahan diri ini,pelbagai perkara perlu dijaga tidak sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Barulah puasa itu menjadikan seseorang muslim itu hebat bukan?

Kenapa hebat? Kerana puasa itu melengkapi penjagaan seluruh aspek jiwa dan jasad manusiawi,merangkumi hal-hal jasad,akal,hati dan ruh. Mujahadah menyertai  puasa-puasa insan yang menginginkan ibadahnya dalam ruang lingkup yang  terbaik. 

Kenapa lagi agaknya puasa menjadikan umat islam itu hebat? Kerana akal dan fikirannya digalakkan untuk hanya mengingati penciptaNya dan jauh dari hal-hal dunia. Ruhnya diikat untuk kembali bersama fitrah asalnya yang datangnya dari Rabb Al-jalil. Nafsnya  (nafsu) perlu   dirantai memerangi kehendak dunia yang penuh angan-angan dan segalanya hanya untuk mendambakan kesempurnaan dalam aspek ibadah puasanya. Tapi, puasa yang hebat itu tetap bersyarat. Syarat itu pasti akan memartabatkan setiap muslim yang ingin diri dan puasanya hebat. 

Puasa hebat!

merantai nafsu sebahagian dari tuntutan puasa

Mahu menjadikan puasa itu  biasa-biasa atau puasa yang hebat kita damba?

Sekadar  puasa yang biasa-biasa itu pasti mudah untuk dilaksanakan. Syaratnya mudah dan tidak membebankan. Akan tetapi yang hebat itu sukar sekali didamba dek berjelanya syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Namun cuba ambil masa sejenak dan renung kembali,apakah iman didada tidak ingin di tambah dan pahala tidak ingin dilipat gandakan hamba-hambaNya yang berpuasa dibulan mulia ini? Alang-alang menyeluk pekasam,biarlah sampai ke pangkal lengan,alang-alang sudah berpuasa,biarlah ia menjadi sempurna kan?(^_^). 

Soal martabat orang-orang yang berpuasa…

Ternyata yang biasa itu pasti mudah dan yang luar biasa itu semestinya sukar. Tapi perbezaan antara yang sukar dan senang itulah yang membezakan puasa kita dari sudut kesempurnaannya,bukan begitu? Malah  kesempurnaan puasa itu ada tingkatannya jua dan  tingkatan inilah yang menjadikan orang-orang yang berpuasa itu memiliki martabatnya. Setiap orang yang berpuasa dibahagikan kepada 3 jenis martabat utama iaitu martabat  ORANG YANG MUBTADI ( orang awam ) ,martabat ORANG YANG MUTAWASSIT (orang khusus/khowas),dan martabat ORANG YANG MUNTAHI ( Khowasul khowas/terperinci ). Berikut antara sedikit penjelasan ketiga-ketiga darjat menurut ulasan dari Kitab Kashful Asror & Kitab Asroru Ddin :-

1.  Martabat orang Mubtadi(Orang Awam)

Sekadar menahan makan dan minum di siang hari dan menahan jimak pada siang hari serta menghadirkan niat pada malamnya.

2.  Martabat orang Mutawassit(Orang Khusus/Khowas)

Menahan segala anggota yang tujuh daripada mengerjakan yang haram;
  • Menahan dua mata daripada yang haram seperti melihat perempuan yang hilat;
  • Menahan lidah daripada mengumpat dan berdusta;
  • Menahan telinga daripada mendengar perkataan yang sia-sia dan mendengar orang mengumpat
  • Menahan tangan daripada mencapai/mengambil yang haram
  • Menahan kaki daripada berjalan kepada pekerjaan yang haram;
  • Menahan faraj daripada yang haram;
  • [Menahan hidung daripada menghidu yang haram]
Mungkin inilah apa yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya:

"Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum sahaja. Tetapi sesungguhnya puasa itu menahan diri daripada berkata-kata yang tidak sopan, perbuatan yang sia-sia dan keji." (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Dan berkata orang-orang Mutawassit kepada orang-orang Mubtadi;

"Hanya payah(penat/lelah) berlapar dan dahaga sahaja;  tiada faedah pada berpuasa(yakni tidak dapat mengasuh dan mendidik jiwanya daripada memelihara anggota zahirnya)

Menurut kitab Asroru-Ddin puasa ini ialah
  • menahan diri daripada menerima kebencian oleh segala makhluk dan
  • menahan diri daripada hawa nafsu yang datang  dan
  • menahan diri daripada
    • keluh kesah kena bala dan
    • keluh-kesah dalam berbuat taat dan
    • keluh-kesah menahan qada dan qadar daripada Allah Taala walaupun ianya sangat dibenci olehmu sekalipun.
 3.  Martabat orang-orang Muntahi(Khowasul-khowas/ArifbiLlah)

Memelihara hati daripada mencita-citakan kemuliaan dunia dan menahan hati ingat akan ghairullah(sesuatu selain daripada Allah).

Dan jika ditanya manakah yang dikatakan sebenar-benar puasa?

Maka jawapannya ada pada cara berpuasa orang-orang Muntahi ini ; di mana puasa mereka ialah  berpuasa hati mereka daripada  condong atau cenderung dan mengingati sesuatu selaian daripada Allah.
  • Mereka berpuasa daripada makan dan minum (jasad yang basyariyah)
  • Mereka berpuasa daripada berkira-kira untuk menyediakan menu yang lazat-lazat sewaktu berbuka atau bersahur.
  • Mereka berpuasa daripada melakukan maksiat-maksiat yang zhohir (nafsu yang syaithoniyah)
  • Mereka berpuasa daripada membilang-bilang pahala amalan;
  • Mereka berpuasa daripada mengukur-ukur kedudukan diri dan martabat; (aku bijak,  aku pandai,  aku alim, aku banyak amal,  aku pembimbing manusia,  aku telah capai maqam anu,  maqam itu)
  • Mereka berpuasa daripada menghidu aroma syurga
  • Mereka berpuasa daripada menoleh kepada karenah alam dan makhluk
  • Mereka berpuasa daripada menilik wujud diri sendiri
  • Mereka berpuasa daripada memandang kepada wasitoh (amal, barakah, guru, ilmu, karamat dan apa sahaja yang bernama Masyiwallah.
Puasa mereka ini  melengkapi jasad,  hati,  akal dan ruh.
Tidak perlulah kita membilang-bilang darjat dan tingkatan puasa kita,namun  renung dan muhasabahlah  amal-amal yang kita lakukan agar ianya dapat dipersembahkan kepada Allah dalam keadaan yang sempurna. Ke mana sahaja kita menghadap, disitu jualah Allah berada.

Wallahua`lam..

Selamat menunaikan ibadah berpuasa.

Sekian.

credit to critical angle


Tuesday, August 2, 2011

rahsia subuh dan kekuatan diri...

“SUBUH…SUBUH..BANGUN…USTAZ MINTA SEMUA PENUHKAN SAF DI SURAU “..

Ehsan incik Google

Derapan langkah kakinya sudah pun menakutkan semua pelajar-pelajat di Aspura..Belum lagi ditunjukkan sebilah rotan panjang yang sering dibawa bersama. Penangan Chief Felo.! Di  Aspuri pula,senior-senior yang tinggal disetiap aras  mula membangunkan junior-junior untuk bersiap dan berjemaah di surau. Yang leka, terus tertidur dan nyenyak kembali dibuai mimpi. 

Sementara setelah itu,. seusai berjemaah bersama sesi tazkirah diberikan ustaz pada setiap pagi, ada yang memberi sepenuh perhatian, xkurang juga yang menyambung tidur dengan kedudukan tegak. Allah,macam-macam ragamnya  awal pagi, itulah indahnya kenangan tinggal berjauhan dari keluarga, merasa serba sedikit rencah hidup tanpa mereka. Kadang kadang  saya tersenyum sendiri mengenang kisah subuh dan kepayahan bangun pagi yang dialami pelajar-pelajar, maklumlah..subuh kan dingin. Ditambah zaman persekolahan saya  dihabiskan di kawasan hijau berbukit, yang memang sejuknya..MasyaAllah…menggigil ke tulang, neurotransmitter pun terbantut menyampaikan signalnya, (^_^) tapi tidak pula bagi mereka yang jiwanya kental,semangat dan keinginan jiwa mereka tinggi.

Rahsianya dan misterinya subuh kan?

.Masakan tidak, waktu subuh seolah-olah waktu perdana bagi seseorang insan, kita dibangunkan kembali untuk kehidupan hari ini setelah dimatikan sementara semalaman..dan subuh juga menjadi salah satu wajib yang diwajibkan solat di dalamnya. Alhamdulillah..masih bernyawa lagi kita hari ini. 

Ha..sudah solat subuh hari ini? Pastikan terjaga waktunya ya.

Subuh itu penanda kekuatan seseorang insan.

Kenapa pula? Sebab Subuh dipenuhi ujian-ujian. Agak-agaknya,mudahkah kita untuk bangun dari tidur yang nyenyak, bantal yang empuk dan selimut yang hangat membaluti tubuh seterusnya mengenakan air yang dingin ke tubuh dan terus bermunajat menemui pencipta bersama-sama hamba-hamba ALLAH yang lain. Sudah tentu tidak mudah. Itulah kekuatan luar biasa insan-insan yang punya kekuatan jiwa yang tinggi. Kalau jihad tidak kuat, mahunya solat tidak dibuat..kan ?



Inilah antara penanda aras kekuatan pejuang-pejuang yang bangkit mempertahankan Islam yang banyak kita lihat dan dengar dari sirah-sirah terdahulu. Subuh dan munajat malam yang terjaga, mereka terus maju. Peperangan dan kemenangan tidak hanya perlu disertakan dengan kekuatan fizikal dan persiapan ketenteraan semata-mata, tetapi jua kekuatan jiwa tenteranya.

sekecil-kecil hati mampu melahirkan segagah-gagah pejuang!

Tidaklah menghairankan, Salahuddin Al-Ayyubi menggunakan penanda aras ini untuk mencapai kemenangan tenteranya dahulu dalam memperoleh kemenangan dalam peperangan berhadapan tentera bersalib yang menggabungkan 22 kesatuan tentera dari seluruh negara eropah.

Tidaklah juga menghairankan, Sultan Mahmud Al-Fateh turut menggunakan method yang sama dalam menilai kekuatan tenteranya dalam pemilihan imam ketika solat berjemaah di medan perang. Pertanyaannya, dimulai dengan pelaksaaan tuntutan solat fardu,sunat rawatib dan diakhiri dengan solat tahajud. Sepenghujung malam dan awal paginya gah dengan munajat mencari simpati Ilahi dalam meraih kemenangan dan keredhaan dari Tuhan.

Dibarisan manakah kita akan berdiri sekiranya dibariskan bersama-sama barisan tentera Sultan Mahmud Al-Fateh yang dikatakan baginda Rasulullah sebaik-baik barisan tentera?Mungkin barisan hadapan ,pertengahan, dan mungkin yang tercorot sekali dari belakang. Wallahualam..hanya anda yang punya jawapannya sendiri.

Benarkah indicator yang diguna pakai ini?

jauh dalam hati, pasti ada antara anda yang mengiyakan dan menidakkan. Terpulang…itu soal pendapat masing-masing, kita perlukan kepelbagaian dalam berpendapat. Saya tidak mengajak anda bersetuju seratus peratus  ,tapi fikir-fikirkan lah dan simpan jawapan tersebut sendiri. ( ^_^) .

Ejen-ejen KGV di Chechnya dan Gaddafi di Libya masing-masing akan menangkap pemuda-pemudi mereka yang akan menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Soalnya kenapa? Mereka yakin, barisan pemuda- pemudi ini akan bangkit dan menggegarkan kerajaan Libya dan Rusia. Subuh, jemaah, kesatuan dan barakah dari Allah. Persoalan besar yang bermain disini dan perlu difikir dalam- dalam.

Ingin membina kekuatan diri yang kukuh?Ingin menjadi insan luar biasa?

Jagalah sepertiga malam terakhir dan subuh itu sendiri ,kerana ia punya kekuatannya sendiri. Ingat teman!Inilah permulaan kepada kekuatan diri yang sebenar. 

Wallahualam….

sekian.. 


P/S: teringat pesan sorg sahabat dulu ,nak  cari suami cari yang mudah bangun pagi..berjiwa tinggi katenye..hehe..nak jawab balik ye kwn..insyaAllah...( ^_^ )
Saturday, April 9, 2011

back to basic!


IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS AND MERCIFUL..



Assalamualaikum pemula bicara kepada rakan-rakan bloggers yang sudi berkunjung.Alhamdulillah,melewati lewat dua minggu kebelakangan ini, biarpun dihimpit dan hampir tersesak rasanya menghadapi sesi test yang berturut-turut serta lambakan assignment yang kunjung tiba di penghabisan semester,saya akhirnya lega…kerana akhirnya segalanya berjaya ditempuh dengan lancar biarpun permulaannya hati ini mula goyah terhadapa ketidakmampuan diri menghadapinya.

Sungguh,benarlah apa yang sentiasa dinasihatkan pada diri ini..buat sesuatu kerana ikhlas untuk lakukan sesuatu,barulah buah-buah kemanisannya muncul di saat kita rasakan kepahitan yang terpaksa ditelan.Keterpaksaan hanya menjadi racun di dalam kemanisan amalan apatah lagi ibadah harian.Sungguh, saya rasakan ia ibarat PANADOL actiFAST yang melegakan.Semestinya,meletakkan keikhlasan di dalam sesuatu tugasan atau apa sahaja tanggungjawab yang dipegang..kemestian yang utama yang sering diingatkan kepada saya sejak kecil.Mudah-mudahan hati-hati kita mampu berterusan istiqamah menilai dan memuhasabah kembali setiap tindakan,kerana yang diharapkan hanya RedhaNYa..

Bermuhasabah membawa kepada pintu-pintu pembersihan serta penyucian hati yang sentiasa ragu-ragu apalagi syak-wasangka terhadap setiap perkara.Hati satu subjektif yang terlalu kompleks untuk dihurai apatah lagi diselami orang lain,jadi dengan sekeping hati inilah,hanya diri sendiri yang mampu memberi penilaian dan bermuhasabah dengan tindakan yang diambil sehari-hari samada ia baik atau sebaliknya kerana hanya ROHANI yang mengenal JASMANI.

Rohani itu suis kepada diri,diri ibarat robot yang dikawal dan terkawal dengan peranan hati.Siapa diri kita terpamer dengan  bagaimana hati kita yang mengawal. Dan hati yang mengawal itu perlulah pula lengkap dengan perisai CLOROX dan DOWNY. Clorox merebahkan benteng-benteng mazmumah di dalam diri,manakala DOWNY mengisinya dengan wangian pancaran mahmudah yang menyucikan hati dari segala prasangka dan buruk cela sifat manusia yang jauh dari fitrah asalnya.Disinilah mekanisma Al-Takhalli( penyingkiran aspek mazmumah-diibaratkan dgn tindakan Clorox) dan Al-Tahalli(pengukuhan diri dengan aspek mahmudah-diibaratkan dengan tindakan Downy) memainkan peranannya, tapi bagaimanakah langkah permulaan yang mungkin boleh disarankan?

Seorang cucu bertanya kepada datuknya;

“ wahai datukku,kenapakah engkau tetap membaca Al-Quran ini sedangkan maksudnya tetap tidak juga engkau fahami?”

 “sekarang pergilah engkau mencari sebuah bakul rotan  yang telah usang  dan ambillah sebanyak mungkin air sungai di hadapan ini menggunakan bakul itu dan bawakan kesini”,Dengan pantas datuknya membalas. 

“Baiklah,saya akan kembali.”

Namun apa yang terjadi,setiap kali bakul itu cuba diisi dengan air sehingga penuh,airnya melimpah keluar dengan lajunya dan hanya pasir yang terkaut bersama. Sang cucu mencubanya berkali-kali namun hasilnya tetap hampa Lantas,dia kembali kepada datuknya.

“wahai datukku,hanya inilah pasir inilah yang mampu dikautku saat ini sedangkan mencubanya berkali-kali”kata sang cucu

“Tahukah kamu mengapa?”tanya datuknya.

Sambil menggeleng,sang cucu menunjukkan muka tidak berpuas hati.

“itulah yang aku ibaratkan apabila engkau tanya aku mengapakan aku berulang kali membaca Al-Quran,Engakau  cuba mengambil air tadi dengan bersungguh-sungguh menggunakan bakul rotan yang usang itu dan asalnya kotor.Berkali-kali kamu cuba menakung air didalamnya,hanya pasir yang dapat dikaut.Tapi tidakkah kamu menyedari,akhirnya bakul yang usang dan kotor itu akhirnya bertukar menjadi bersih sekali kini dan kelihatan seolah-olah masih baru?begitulah diriku dan apa yang aku bacakan sehari-hari.Sungguhpun aku tidak memahaminya,Al-Quran itu tetap membersihkan hatiku,aku lebih tenang dengannya.Kitab itulah pembersih jiwa cucuku..”

Jadi, mengapa perlu bersusah payah sedangkan ada panduan yang terpapar telah terbentang luas dihadapan kita berabad lamanya?Sendiri beralasan ataupun tidak mahu?Hanya diri sendiri yang tahu,dekatkanlah dirimu dengan Al-Quran..nescaya dirimu selamat dengan perlindunganNya.INSYAALLAH..Hayati dan selamilah peringatan YANG MAHA ESA…

"...dan sesungguhnya kami memudahkan Al-Quran itu untuk diingati,maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran."(surah al-Qamar:17)






Saturday, February 26, 2011

Part 4: Saa`dah yang hakiki




Nilai kebahagiaan tidak dapat dihitung dan digapai dengan angan-angan semata-mata,akan tetapi kebahagiaan ( saa`dah ) dari perspektif Islam dilihat sebagai nilai keimanan dan ketakwaan,kualiti ketaatan dan kebersihan hati seseorang manusia dalam mencari kebahagiaan hakiki yang bersifat ukhrawi.Hati ialah saluran untuk mengenal Allah,dan dengan hati yang dipandu keyakinan yang mantap,ia akan melahirkan  kebahagiaan( saa`dah ) yang bakal mententeramkan jiwa dan memberi ketenangan ke dalam roh dan jiwa seseorang hamba.Firman Allah;

“ Dan orang-orang yang mendapat petunjuk,Allah akan menambahkan petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan kepada mereka”[1]

Justeru,pasti kita akan bertambah yakin jika kita tahu bahawa setiap ujian jiwa, kesedihan, malapetaka, dan seumpamanya adalah ujian dari Allah Taala yang menguji hambaNya. Jika dalam kebudayaan Barat, semua itu adalah 'tragedi' jiwa yang berpunca daripada kehampaan  yang boleh diertikan Shawqah (keperitan jiwa),maka kita akan yakin bahawa Saa`dah(kebahagiaan) tidak hanya datang dalam perkara yang menyenangkan tetapi kepayahan itu turut menjadi alunan hiburan bagi orang-orang mukmin dalam mencapai erti sebenar kebahagian hakiki yang tidak terletak pada nilai duniawi semata-mata,tetapi matlamatnya jelas untuk sesuatu yang abadi di akhirat nanti.Wallahualam.


[1] Surah Muhammad Ayat 17

Part 3: Sambungan kupasan saa`dah dari perspektif Islam


 Kebahagiaan yang hakiki didalam Islam menurut Imam Al-Ghazali ialah kebahagiaan ukhrawi ( saa`dah al-ukhrawiyah ) yang diperolehi hanya dengan mencari dan mengumpulkan saham akhirat dengan sepenuh jiwa  dan membangunkan duniawi selari dengan apa yang disyariatkan Allah. Beliau membahagikan aspek kebahagiaan kepada dua aspek utama yang terdiri daripada aspek negatif dan aspek positif yang bertepatan dengan dalil-dalil Al-Quran Al-Karim.
Aspek negatif kebahagiaan yang dilihat oleh Imam Al-Ghazali  adalah seperti kesenangan dunia yang mengakibatkan manusia mulai lupa akan tujuan kehidupan dan menjerat kehidupannya di akhirat kelak.Secara lahiriahnya,manusia itu bakal  berbahagia dengan apa yang dimilikinya, namun kenikmatan yang dirasakan kebahagian itu bakal menjerat mereka  kearah kebinasaan dan kehancuran hidup dek lalainya mereka dalam mentaati perintah Allah angkara terlalu leka dengan keseronokan duniawi yang dirasakan syurga dunia nyata yang indah belaka.

Akhirnya,seseorang manusia itu akan mati dalam keadaan kehinaan dan menderita sebagai balasan atas apa yang telah dikerjakan mereka didunia sebelumnya.[1]Allah telah pun memberi peringatan yang jelas menerusi firmanNya;

“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”[2]

Namun begitu,beliau tidak menolak kesemua kenikmatan dunia itu untuk dirasai manusia sebagai pandangan yang merosakkan kerana sememangnya  fitrah manusia  turut memerlukan kepada urusan dunia dalam membangunkan kehidupan di dunia dan akhirat,malah beliau sendiri meraikan fitrah yang dikurniakan Allah SWT. Antaranya seperti keperluan terhadap tuntutan ilmu dan melakukan kebaikan menggunakan nikmat-nikmat yang Allah berikan seperti kekayaan dengan menyalurkannya kepada jalan yang benar dan menikmati ibadah perkahwinan selari dengan panduan yang telah digariskan syariat agar dapat membantu manusia untuk memperolehi kebaikan dan kebahagiaan di akhirat.[3]

Kehidupan di akhirat sesungguhnya tidak sama dengan sistem kehidupan di dunia di mana manusia tidak ditaklifkan lagi dengan sebarang bentuk tanggungjawab dan amanah seperti yang diberikan oleh Allah ketika hidup di dunia malah tiada lagi sebarang bentuk kebaikan mahupun kejahatan. Bahkan, apa yang bakal dilalui umat manusia pada ketika itu hanyalah menerima setiap balasan di atas setiap amalan yang dilakukan di atas muka bumi semasa hayatnya, dan balasan inilah yang akan menentukan sama ada membawa kepada kebahagiaan yang hakiki iaitu dengan balasan yang baik ataupun sebaliknya.

Imam Al-Ghazali turut menukilkan bahawa kebahagian hakiki yang tiada taranya di akhirat ialah  apabila  hamba-hambaNya yang istimewa(khawash) itu diperlihatkan baginya Allah SWT secara langsung dan hal ini hanya berada di dalam rahsia dan pengetahuan Allah yang Maha Mengetahui.Malah, menurutnya kebahagiaan ini bakal membuatkan manusia lupa akan segala bentuk kenikmatan dan keseronokan yang berada di  syurga kerana nikmat di syurga tidak bernilai apa-apa dibandingkan dengan melihat keindahan Allah SWT.

Inilah kebahagiaan yang sejati dan tiada bandingannya, namun begitu kebahagiaan tertinggi bagi orang-orang awam ialah mencapai syurgaNya( jannah)[4].Malah seseorang itu tidak memasuki syurga kerana amal kebajikannya sahaja,tetapi ia berdasarkan kepada rahmat dan belas ihsan Allah SWT yang Maha Menghitung biarpun manusia itu banyak melakukan kemungkaran semasa hayatnya.Oleh itu,bersangka baiklah dengan Allah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan berdoalah agar Allah mengasihi kita di dunia dan akhirat kelak.

Dari aspek positif,kebahagiaan itu datang dengan adanya kesedaran terhadap penghayatan ilmu yang benar yang mampu membimbing kepada kebahagiaan dan keselamatan kehidupan di dunia dan akhirat.Menurut Imam Al-Ghazali lagi, kebahagiaan yang sebenar-benarnya hanya dapat ditemui di akhirat.Oleh itu,bagaimanakah pula caranya mencapai kebahagiaan yang hakiki yang memerlukan kesungguhan dan usaha yang istiqamah semasa di dunia?Beliau menyatakan pentingnya menghayati ilmu pengetahuan dengan sepenuh hati kerana ianya adalah asas utama untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki dengan  menjiwainya dengan sepenuh  keimanan dan ketakwaan.

Beberapa aspek penting perlu diberi penekanan iaitu ilmu pengetahuan yang benar,mengamalkannya dengan cara yang sahih,menyucikan jiwa dari unsur-unsur mazmumah,membangun dan mempertingkatkan unsur kerohanian dengan amalan-amalan yang baik dan akhir sekali menerapkan nilai akhlak yang mulia di dalam kehidupan.[5]

Dalam mempertingkatkan aspek kerohanian, kawalan terhadap hati (qalb) dan anggota pelaksananya( jasad) amat perlu. Imam Al-Ghazali menyatakan bahwa jiwa (nafs) manusia itu umpama  sebuah kota.[6] Hati pula adalah rajanya, nafsu ( nafs )adalah pengawal kotanya, akal(aql) adalah panglimanya, kekuatan marah( nafs al-ammarah ) adalah musuh-musuhnya yang memiliki dendam kesumat . Hati berfungsi sebagai raja yang menasihati kerajaan kotanya agar mampu untuk bertenang.

Hati perlu segera menasihati seluruh isi kotanya, kerana pengawal kotanya adalah nafsu ( nafs ) manakala kekuatan marah ( nafs al-ammarah ) menjadi musuh kotanya, dan jika hati berhenti untuk menasihati seluruh isi kotanya maka hancurlah kota tersebut, dan dengan itu hancurlah jiwa manusia. Hati yang bertindak sebagai raja turut perlu bijak mengawal gerakan panglimanya( akal ) dalam  menundukkan pengawal kotanya (nafs) dan musuhnya ( ammarah ) mampu dikendalikan sebaik mungkin oleh panglimanya. Jika perkara ini berlaku,maka amanlah kota dan bahagialah jiwa manusia.

Oleh itu, semua aspek ini perlulah dikawal rapi menerusi kaedah bermujadah di dalam amalan dan mengislahkan diri kepada suatu bentuk penghijrahan dalaman dengan tazkiyatun nafs  yang istiqamah agar matlamat untuk mencari kebahagian yang hakiki tidak tinggal sebagai angan-angan tetapi ianya satu harapan yang membangunkan keseluruhan jiwa manusia kearah kesejahteraan dan kebahagiaan  di dunia dan akhirat.




[1] Abu Hamid al-Ghazali,Kimiya-i Sa`adah ,halaman 94-95
[2] Surah Al-Hadid Ayat 20
[3] Abu Hamid al-Ghazali,Kimiya-i Sa`adah ,halaman 79
[4] Abu Hamid Al-Ghazali “ Kitab Dhikr al-Mawt wa ma Ba`dahu” in Ihya`,vol. 6 halaman 196
[5] Diterangkan didalam kitab Al-`ilm dan Kimiya-i Saa`dah 
[6] Al-Ghazali and His Theory of The Soul, halaman 196 perenggan 2

Part 3: kupasan Saa`dah Islamiyah


Didalam Islam,Saa`dah didefinasikan sebagai bahagia atau kebahagiaan.Islam merungkai persoalan kebahagiaan ini menerusi pelbagai cabang dan telah dibahaskan ramai cendiakawan-cendiakawan Islam  menerusi pendekatan Al-Quran dan As-Sunnah. Dari sudut Al-Quran, konsep kebahagiaan atau happiness ini amat berkait rapat dengan soal keselamatan( Salvation) sehinggakan didalam Al-Quran sendiri keselamatan(Salvation) ini dirujuk didalam beberapa perkataan yang membawa maksud yang sama dengannya seperti najah (keberkatan), fawz(kejayaan), falah(kemakmuran) dan saa`dah (kebahagiaan).[1]

KUPASAN KONSEP SAADAH DARI KACA MATA AL-QURAN

Sesungguhnya konsep keselamatan  ini saling berhubungan dengan kepatuhan penganutnya terhadap ajaran Islam.Al-Quran membahagikan unsur keselamatan  ini kepada dua bahagian utama yang merujuk kepada keselamatan  hidup di dunia dan kehidupan di akhirat yang bakal diharungi kelak oleh semua umat manusia yang berkait terus dengan  aspek kebahagiaan yang hakiki.Keselamatan hidup didunia biasanya dilihat dari bebasnya manusia daripada penindasan,ketidakadilan dalam sistem kehidupan,hidup yang dirundung dengan kesedihan berpanjangan dan malapetaka yang membinasakan serta sebarang bentuk kecaman dan penderaan sama ada fizikal mahupun seksual.

Sesungguhnya,bentuk-bentuk kebahagiaan dan keselamatan di dunia ini merupakan satu anugerah Allah kepada umat manusia berdasarkan keimanan,kepatuhan dan amal soleh yang mereka kerjakan.Allah telah  berfirman didalam Al-Quran :

“ Dan ketika azab Kami datang,Kami selamatkan Hud dan orang-orang beriman bersama dia dengan rahmat Kami.Kami selamatkan (pula) mereka (di akhirat) dari azab yang berat”[1]

“Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman kerana mereka adalah orang-orang yang bertakwa”[2]

Keselamatan hidup di akhirat pula dirujuk  apabila manusia itu terselamat daripada azab siksa dan hukuman Allah yang Maha Dahsyat di atas setiap perbuatan yang dilakukan semasa didunia,bahkan ia merupakan suatu ganjaran disisi Allah kepada umat manusia yang melakukan amal soleh semasa hidup di dunia. Allah SWT juga berfirman di dalam Al-Quran:

“ Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas (maksudnya),orang-orang kafir berkata kepada orang-orang beriman, “ Manakah di antara kedua golongan yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih indah tempat pertemuan(nya)?”[3]

Muhammad Abul Quasem menyatakan di dalam buku karangannya [4],keselamatan di dalam kehidupan turut merujuk secara jelas kepada apa yang diperkatakan Al-Quran dan konsep asal keselamatan yang difahami disini adalah termasuk dengan perkara-perkara sam`iyyat yang hanya diketahui di dalam Al-Quran dan juga dari nabi-nabi yang diutuskan Allah sebagai penegak kebenaran dan pencegah kebatilan di dalam kehidupan manusia.

Secara amnya, Al-Quran menggariskan unsur keselamatan dan kebahagiaan di akhirat kepada dua perbincangan utama iaitu keselamatan dan kesengsaraan manusia yang melibatkan jasad dan rohani serta tahap keselamatan dan kesengsaraan hidup yang bakal dilalui oleh manusia itu sendiri berdasarkan amal soleh dan perlakuannya di dunia.

Keselamatan dan kebahagiaan manusia di akhirat bergantung kepada perlakuan jasad dan rohaninya  dimana unsur rohani memainkan peranan penting dalam menggerakkan jasad dan bertindak suis kepada kehidupan seseorang manusia.Apabila baik rohaninya,maka baiklah keseluruhan perlakuannya yang digerakkan oleh jasadnya.Namun apabila buruk aspek rohaninya,maka buruklah pula akhlaknya yang terzahir menerusi cerminan lakonan jasad manusia itu tadi.
Setelah itu,segala puncak keselamatan hidup manusia akan terhitung dengan bermulanya saat kematian dan menempuh  kehidupan di alam barzakh  seterusnya ke Hari Pengadilan dan Pembalasan di atas setiap amalan kebajikan yang dilakukan manusia  yang bakal menentukan sama ada manusia itu akan ditempatkan di syurga yang hakiki ataupun dicampakkan ke dalam neraka Jahannam seperti firman-firman  Allah di dalam Kitabnya :

“Dan di hadapan mereka ada barzakh[5] sampai pada hari mereka dibangkitkan”[6]

“ Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan,mereka itulah penghuni syurga.Mereka kekal di dalamnya”[7]

Perhitungan itulah yang bakal menjamin keselamatan manusia itu dan membawa sama ada kepada kebahagiaan( saa`dah ) yang hakiki ataupun kesengsaraan yang abadi seperti yang dinyatakan di dalam banyak ayat-ayat Allah di dalam Kitabullah.


[1] Surah Hud Ayat 58
[2] Surah Fussilat Ayat 18
[3] Surah Maryam Ayat 73
[4] Salvation of the Soul and Islamic Devotions
[5] Barzakh merujuk kepada tempat atau keadaan orang setelah mati sampai ia dibangkitkan pada hari kiamat.
[6] Surah Al-Mukminun Ayat 100
[7] Surah Al-Baqarah Ayat 82


[1] Muhammad Abul Quasem,Salvation of the Soul and Islamic Devotions

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers