IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS AND MERCIFUL
Assalamualaikum…
Ke hadrat Allah dipanjatkan segala kesyukuran kepadaNYA kerana masih mengizinkan diri saya dan kita semua menghirup udara segar pagi dan menjalani aktiviti sehari-hari yang pelbagai,semoga dengan limpah rahmatNYA dan kita tidak akan lupa untuk sentiasa menjadi hamba yang bersyukur,insyaAllah..Permulaan awal MUHARAM lambang beralihnya tahun-tahun hijrah Islam dari setahun ke setahun,telah menyajikan kita dengan pelbagai amalan-amalan sunnah yang dilakukan baginda SAW. Puasa asyura begitu sinonim dengan masyarakat, ada yang sekadar ikut-mengikut,ada yang mula bertekad melaziminya setiap tahun dan ada yang faham dengan sebenar-benar kefahaman pengertian peralihan tahun hijrah yang dihidupkan dengan sunnah-sunnah baginda SAW.
Meskipun begitu sebagai seorang mukmin, adalah penting bagi kita mengetahui serba sedikit sunnah berpuasa di bulan Muharram. Pada mulanya,puasa Asyura adalah termasuk dengan puasa yang fardu namun setelah diwajibkan (disyariatkan) puasa Ramadhan keatas setiap umat Islam, maka dengan itu puasa Asyura menjadi sesuatu sunnah untuk dilaksanakan sepertimana penjelasan terang Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud;
“ Orang-orang Quraisy zaman jahiliyyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah Saw juga berpuasa pada hari Asyura di zaman jahiliyyah. Setelah baginda sampai ke Madinah, maka baginda berpuasa pada hari tersebut dan menyuruh orang lain berpuasa. Maka setelah puasa bulan Ramadhan diwajibkan baginda meninggalkan puasa Asyura dan baginda bersabda : Barangsiapa yang mahu, maka berpuasalah dan barangsiapa yang mahu berbuka tinggalkanlah puasa” [ Muttafaq `alaih . Bukhari (2002) dan Muslim ( 1125) ]
Banyak hadis-hadis turut menceritakan mengenai kepentingan berpuasa di bulan Muharram,namun sebagai seorang muslim kita perlu meneliti dengan sebahagian hadis yang dhaif dan bertaraf maudu` yang banyak disebarkan menceritakan kepentingan puasa Asyura. Sebaik-baiknya dapatlah rujukan hadia yang sahih dan tepat ketika berhujah dengan kepentingannya dan beramal dengan sunnah Rasulullah SAW. Antara hadis yang dapat mengukuhkan lagi kita dengan kepentingan berpuasa di bulan Muharam ialah satu hadis sahih riwayat Muslim yang berbunyi :
“ seafdal-afdal puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang diharamkan (Muharam) . seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam” ( Riwayat Muslim (1163) .Nasai` dalam Alkubra (2/2905,2906). Ahmad ( 2/303,329,342,535).Ad-darimi (2/21). Al- Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra ( 4/291).Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Musannaf (3/42). Abu Ya`la ( 6395).Ibnu Hibban dalam As-sahih ( 2363).Dan Ibnu Khuzaimah (1134) ).
Rasulullah SAW menyuarakan agar kita berpuasa pada hari ke 9 dan 10 dalam bulan Muharam. Baginda bersabda :
“ Semasa Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa ,maka para sahabat bertanya : Ya Rasulullah!Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka bagind bersabda : Jika datang tahun hadapan maka kita kan berpuasa pada hari Tasu`a (hari ke 9 Muharam) . (Berkata Ibnu Abbas: )Maka belum tiba tahun hadapan,Rasulullah SAW telah pun wafat.” ( Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud ).
Maka secara kesimpulannya, adalah disunnahkan berpuasa pada hari ke –9 dan 10 Muharam.Wallahualam..
0 comments:
Post a Comment
komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..