Pages

Sunday, July 11, 2010

dermalah..demi sebuah pengharapan..


Organ ialah alat dalam tubuh badan manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai tugas yang penting. Dalam bahasa Arab dan Inggeris organ merangkumi organ dalaman dan organ luaran. Dengan erti kata lain, organ ialah anggota tubuh badan sama ada anggota dalaman atau luaran.

Muktahir ini masalah dan isu pendermaan organ manusia menjadi perbualan dan perbincangan di kalangan pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia serta bermacam-macam kempen, program dan usaha yang dilaksanakan oleh pihak-pihak dan badan-badan tertentu untuk menggalakkan pendermaan organ demi memberi harapan hidup kepada golongan yang memerlukan. Saya rasa terpanggil untuk melihat perkara ini menurut sudut perspektif yang berbeza iaitu melalui perspektif Islam dan syarak berdalil Al-Quran, hadith Nabi Muhammad s.a.w, kaedah-kaedah fiqhiyyah dan pandangan para ulama Islam dalam persoalan semasa ini.

Jika kita selusuri secara kasar, kita akan mendapati seolah-olah masalah ini tidak berlaku perbincangan (perbahasan) di kalangan para fuqaha dahulu tetapi hakikatnya para ulama dahulu tidak membincangkan hal tersebut secara jelas. Perbincangan mereka dalam masalah berkaitan dengan organ hanya berkisar sekitar perkara yang mereka andaikan akan terjadi (fiqh taqdiry) seperti makan jasad manusia ketika darurah, potong anggota badan yang dihinggapi penyakit berjangkit, rawatan menyambung tulang yang patah, belah perut ibu yang sudah meninggal bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan atau harta yang ditelan semasa hidup, rawatan luka menggunakan tulang manusia dan penjualan rambut anak Adam. Walaupun begitu, asas dan panduan yang mereka tinggalkan daripada perbincangan mereka yang lalu dijadikan rujukan dan garis panduan para ulama dan cendiakiawan Muslim masa kini untuk menentukan hukuman pemindahan dan pendermaan organ serta keharusan perkara demi kemaslahatan dan kebahagiaan untuk individu lain.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:

“Dan janganlah kamu menjatuhkan (mencampakkan) dirimu sendiri ke dalam kebinasaan”.

Ayat ini jelas melarang manusia Muslim melakukan perbuatan yang boleh mengakibatkan kebinasaan diri. Contoh yang sering kita dengari ialah merokok dan menghisap dadah. Namun begitu, ayat di atas ini jika kita lihat secara analogi ia juga boleh difahami bahawa Islam tidak membenarkan manusia membiarkan dirinya dalam keadaan bahaya maut atau tidak berfungsi organ tubuhnya yang sangat penting baginya tanpa usaha penyembuhannya dengan berubat termasuk pemindahan organ daripada individu yang berhati mulia yang sanggup mendermakan organnya bagi memberikan harapan kepada yang berkenaan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.


Firman Allah yang lain:

“Dan sesiapa yang memelihara keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah ia telah memelihara keselamatan manusia semuanya” (Al-Maidah:32)


Ayat ini berbentuk umum, merangkumi setiap bentuk usaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang daripada kebinasaan termasuklah orang yang mendermakan organnya dan para doktor yang memindahkannya kepada orang lain bagi menyelamatkannya daripada kebinasaan atau mengembalikan semula fungsi organnya sebagaimana asal yang seumpama memberi satu kehidupan kepada individu tersebut. Syeikh Mahmud Syaltut, seorang ulama kontemporari menyatakan ayat ini menunjukkan bahawa Islam sangat menghargai tindakan kemanusiaan yang dapat menyelamatkan jiwa manusia. Misalnya seorang yang menemui bayi yang dibuang di tempat pembuangan sampah wajib mengambilnya untuk menyelamatkan jiwanya. Demikian pula seorang yang dengan ikhlas hati mahu menyumbangkan organ tubuhnya setelah ia meninggal maka Islam membolehkan bahkan memandangnya sebagai satu amalan perbuatan kebajikan yang tinggi nilainya kerana menolong jiwa sesama manusia dan memberi satu sinar harapan yang baru untuk insan yang kurang bernasib baik ini meneruskan kehidupan.

Sejarah umat Islam yang terdahulu pun ada merekodkan amalan terpuji golongan Ansar yang sanggup berkorban dan melebihkan saudara mereka, golongan Muhajirin hatta ada kisah yang menyatakan wujud individu daripada golongan Ansar yang rela memberikan salah seorang isteri beliau kepada seorang sahabat Rasulullah s.a.w (golongan Muhajirin). Perihal hal ini dinukilkan Allah s.w.t dalam
firmanNya:

“Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka berada dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat” (Al-Hashr:9)


Perlakuan seseorang menderma organ kepada orang lain adalah satu perbuatan mulia dan termasuk dalam konteks ayat di atas kerana pelakunya sanggup memberi sesuatu yang berharga pada diri untuk didermakan kepada golongan yang amat memerlukan pada saat genting iaitu ketika nyawa berada di hujung tanduk dan maut datang menyinggah. Daripada perlakuan itu menyerlahkan bahawa mereka ini berpegang dengan wahyu Allah dan mempraktikkan sifat mahmudah golongan Muhajirin yang sanggup mengutamakan orang lain daripada diri sendiri.

Selain itu, pesakit yang keselamatan nyawanya dikatakan bergantung kepada pemindahan organ dan ada pula orang yang sanggup menderma organnya kepada pesakit berkenaan tanpa rasa bimbang berlaku kebinasaan pada diri sendiri, sudah tentu tindakan pendermaan itu termasuk dalam bab ihsan yang digalakkan oleh syarak dan menepati seruan dermalah organ demi sebuah kehidupan. Qawaid (kaedah-kaedah) Fiqhiyyah pula yang boleh lihat dalam menjelaskan persoalan ini ialah:

1. “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”

2. “Keadaan darurah mengharuskan yang haram”

3. “Apabila suatu perkara berada dalam kesempitan ia mewujudkan keluasan”


Kaedah-kaedah ini terbit daripada nas-nas syarak, menjelaskan bahawa syarak memberikan rukhsah (kelonggaran) kepada orang yang berada dalam situasi darurah untuk menghilangkan kemudaratan yang menimpa dan boleh dikaitkan dengan operasi pemindahan organ dan pendermaan organ kerana ia melibatkan keadaan kesukaran atau darurah kepada pesakit yang diancam maut. Manakala, apabila dibandingkan kemudaratan yang dialami oleh penderma organ dengan kemudaratan yang menimpa pesakit yang amat memerlukannya sudah tentulah kemudaratan pesakit yang terlibat lebih besar kerana itu menghilangkan kemudaratan pesakit harus diutamakan dan ini selari dengan satu kaedah fiqhiyyah yang berbunyi:

“Apabila bertembung dua kemudaratan, hendaklah diutamakan mengelak kemudaratan yang lebih besar dengan melakukan kemudaratan yang lebih kecil.”

Ringkasnya, sudah terang lagikan bersuluh bahawa sesungguhnya menderma organ adalah amalan yang terpuji, selaras dengan roh syariat Islam, dan satu perbuatan yang amat tinggi ganjarannya di sisi Allah s.w.t kerana individu tersebut melakukannya tanpa memikirkan keselesaan dan kepentingan diri sendiri malahan lebih mengambil berat dan mengutamakan diri orang lain. Tambahan lagi, timbang tara dan neraca hukum dan nas-nas syarak jelas mengharuskan amalan ini dan sekaligus menepiskan anggapan negatif orang ramai kepada perkara ini serta secara langsung menghilangkan kekaburan dan kegusaran lalu. Maka adalah molek kempen menderma organ ini dijalankan secara lebih giat dan meluas terutamanya di kalangan masyarakat negara ini berserta penerangan yang lebih lanjut dalam hal.

Dermalah organ anda demi sebuah kehidupan yang lebih sempurna kepada golongan yang memerlukan.

Firman Allah s.w.t:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran (pemusuhan). (Al-Maaidah:2)


SUMBER:http://www.iluvislam.com

0 comments:

Post a Comment

komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers