Pages

Friday, August 5, 2011

martabat puasa

gambar hiasan- ihsan encik google

Ibadah berpuasa  di bulan Ramadhan merupakan kewajipan yang dituntut keatas setiap umat islam yang telah mumayiz setahun sekali. Namun, secara praktikalnya, anak-anak kecil turut dibiasakan dengan latihan ini oleh ibu bapa sejak mereka masih kecil agar kebiasaan ini bakal mendorong mereka untuk sentiasa menitikberatkan rukun Islam yang ketiga ini kelak di masa depan. 

sekadar hiasan- ihsan encik google

 Puasa ertinya menahan diri dari lapar dan dahaga  serta perkara-perkara yang menggangu kesempurnaan puasa dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari. Dalam konteks menahan diri ini,pelbagai perkara perlu dijaga tidak sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Barulah puasa itu menjadikan seseorang muslim itu hebat bukan?

Kenapa hebat? Kerana puasa itu melengkapi penjagaan seluruh aspek jiwa dan jasad manusiawi,merangkumi hal-hal jasad,akal,hati dan ruh. Mujahadah menyertai  puasa-puasa insan yang menginginkan ibadahnya dalam ruang lingkup yang  terbaik. 

Kenapa lagi agaknya puasa menjadikan umat islam itu hebat? Kerana akal dan fikirannya digalakkan untuk hanya mengingati penciptaNya dan jauh dari hal-hal dunia. Ruhnya diikat untuk kembali bersama fitrah asalnya yang datangnya dari Rabb Al-jalil. Nafsnya  (nafsu) perlu   dirantai memerangi kehendak dunia yang penuh angan-angan dan segalanya hanya untuk mendambakan kesempurnaan dalam aspek ibadah puasanya. Tapi, puasa yang hebat itu tetap bersyarat. Syarat itu pasti akan memartabatkan setiap muslim yang ingin diri dan puasanya hebat. 

Puasa hebat!

merantai nafsu sebahagian dari tuntutan puasa

Mahu menjadikan puasa itu  biasa-biasa atau puasa yang hebat kita damba?

Sekadar  puasa yang biasa-biasa itu pasti mudah untuk dilaksanakan. Syaratnya mudah dan tidak membebankan. Akan tetapi yang hebat itu sukar sekali didamba dek berjelanya syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Namun cuba ambil masa sejenak dan renung kembali,apakah iman didada tidak ingin di tambah dan pahala tidak ingin dilipat gandakan hamba-hambaNya yang berpuasa dibulan mulia ini? Alang-alang menyeluk pekasam,biarlah sampai ke pangkal lengan,alang-alang sudah berpuasa,biarlah ia menjadi sempurna kan?(^_^). 

Soal martabat orang-orang yang berpuasa…

Ternyata yang biasa itu pasti mudah dan yang luar biasa itu semestinya sukar. Tapi perbezaan antara yang sukar dan senang itulah yang membezakan puasa kita dari sudut kesempurnaannya,bukan begitu? Malah  kesempurnaan puasa itu ada tingkatannya jua dan  tingkatan inilah yang menjadikan orang-orang yang berpuasa itu memiliki martabatnya. Setiap orang yang berpuasa dibahagikan kepada 3 jenis martabat utama iaitu martabat  ORANG YANG MUBTADI ( orang awam ) ,martabat ORANG YANG MUTAWASSIT (orang khusus/khowas),dan martabat ORANG YANG MUNTAHI ( Khowasul khowas/terperinci ). Berikut antara sedikit penjelasan ketiga-ketiga darjat menurut ulasan dari Kitab Kashful Asror & Kitab Asroru Ddin :-

1.  Martabat orang Mubtadi(Orang Awam)

Sekadar menahan makan dan minum di siang hari dan menahan jimak pada siang hari serta menghadirkan niat pada malamnya.

2.  Martabat orang Mutawassit(Orang Khusus/Khowas)

Menahan segala anggota yang tujuh daripada mengerjakan yang haram;
  • Menahan dua mata daripada yang haram seperti melihat perempuan yang hilat;
  • Menahan lidah daripada mengumpat dan berdusta;
  • Menahan telinga daripada mendengar perkataan yang sia-sia dan mendengar orang mengumpat
  • Menahan tangan daripada mencapai/mengambil yang haram
  • Menahan kaki daripada berjalan kepada pekerjaan yang haram;
  • Menahan faraj daripada yang haram;
  • [Menahan hidung daripada menghidu yang haram]
Mungkin inilah apa yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya:

"Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum sahaja. Tetapi sesungguhnya puasa itu menahan diri daripada berkata-kata yang tidak sopan, perbuatan yang sia-sia dan keji." (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Dan berkata orang-orang Mutawassit kepada orang-orang Mubtadi;

"Hanya payah(penat/lelah) berlapar dan dahaga sahaja;  tiada faedah pada berpuasa(yakni tidak dapat mengasuh dan mendidik jiwanya daripada memelihara anggota zahirnya)

Menurut kitab Asroru-Ddin puasa ini ialah
  • menahan diri daripada menerima kebencian oleh segala makhluk dan
  • menahan diri daripada hawa nafsu yang datang  dan
  • menahan diri daripada
    • keluh kesah kena bala dan
    • keluh-kesah dalam berbuat taat dan
    • keluh-kesah menahan qada dan qadar daripada Allah Taala walaupun ianya sangat dibenci olehmu sekalipun.
 3.  Martabat orang-orang Muntahi(Khowasul-khowas/ArifbiLlah)

Memelihara hati daripada mencita-citakan kemuliaan dunia dan menahan hati ingat akan ghairullah(sesuatu selain daripada Allah).

Dan jika ditanya manakah yang dikatakan sebenar-benar puasa?

Maka jawapannya ada pada cara berpuasa orang-orang Muntahi ini ; di mana puasa mereka ialah  berpuasa hati mereka daripada  condong atau cenderung dan mengingati sesuatu selaian daripada Allah.
  • Mereka berpuasa daripada makan dan minum (jasad yang basyariyah)
  • Mereka berpuasa daripada berkira-kira untuk menyediakan menu yang lazat-lazat sewaktu berbuka atau bersahur.
  • Mereka berpuasa daripada melakukan maksiat-maksiat yang zhohir (nafsu yang syaithoniyah)
  • Mereka berpuasa daripada membilang-bilang pahala amalan;
  • Mereka berpuasa daripada mengukur-ukur kedudukan diri dan martabat; (aku bijak,  aku pandai,  aku alim, aku banyak amal,  aku pembimbing manusia,  aku telah capai maqam anu,  maqam itu)
  • Mereka berpuasa daripada menghidu aroma syurga
  • Mereka berpuasa daripada menoleh kepada karenah alam dan makhluk
  • Mereka berpuasa daripada menilik wujud diri sendiri
  • Mereka berpuasa daripada memandang kepada wasitoh (amal, barakah, guru, ilmu, karamat dan apa sahaja yang bernama Masyiwallah.
Puasa mereka ini  melengkapi jasad,  hati,  akal dan ruh.
Tidak perlulah kita membilang-bilang darjat dan tingkatan puasa kita,namun  renung dan muhasabahlah  amal-amal yang kita lakukan agar ianya dapat dipersembahkan kepada Allah dalam keadaan yang sempurna. Ke mana sahaja kita menghadap, disitu jualah Allah berada.

Wallahua`lam..

Selamat menunaikan ibadah berpuasa.

Sekian.

credit to critical angle


0 comments:

Post a Comment

komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers