Pages

Wednesday, November 23, 2011

Hukum Syarak: Wad`ie

HUKUM WAD`IE ( SEBAB )


Seperti yang telah dibincangkan sebelumnya, hukum wad`ie merupakan perintah Allah yang menjadikan sesuatu sebab,syarat dan penghalang kepada kewujudan dan penentuan hukum. Sebab dari segi bahasanya bermaksud tali,manakala dari sudut istilahnya ialah sesuatu keadaan yang dijadikan oleh Syarak yang menjadi tanda bagi dihadapkan sesuatu titah kepada seorang manusia yang mukallaf.[1].

Sebab dan `illah secara kasarnya tampak sama, namun Asy Syathibi menetapkan perbezaan diantara keduanya. Menurut beliau lagi,sebab adalah suatu hal yang diletakkan syarak untuk sesuatu hukum kerana terdapat hikmah yang diwujudkan oleh hukum tersebut, `illah pula ditakrifnya sebagai segala kemaslahatan Syarak yang bergantung dengannya segala suruhan dan segala kemudharatan yang bergantung dengannya segala tegahan.


            Sebab-sebab pada Syarak dilihat dari 2 sudut yang berbeza,pertamanya sebab-sebab yang mustahil untuk dilaksanakan oleh seseorang yang mukallaf itu seperti keadaan darurat dan di dalam keterpaksaan yang menjadi sebab kepada harusnya makan bangkai dengan kadar yang tidak mengenyangkan berdasarkan nas dibawah.

 “Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya…”[2]

 Satu lagi contoh yang dapat menggambarkan sebab yang pertama ini ialah tergelincirnya matahari pada waktu zuhur,menjadi sebab wajibnya kepada seseorang itu menunaikan Solat Zuhur berdasarkan nas daripada Al-Quran seperti yang tertera dibawah. Adalah sesuatu yang mustahil bagi seseorang manusia mukallaf mengatur perjalanan hidupnya dan pergerakan alam semesta,kerana perkara ini hanya tertakluk dibawah kekuasaan Allah.

“ Bahawasanya solat itu adalah fardu yang telah ditentukan waktunya untuk semua orang yang beriman”[3]

HUKUM WAD`IE ( SYARAT )

syarat dari sudut bahasanya bermaksud melazimkan sesuatu,manakala dari segi uruf syarak ia ditakrif sebagai sesuatu keadaan ataupun pekerjaan yang kerana ketiadaannya, tidak adalah hukum masyrutnya.[4] Sebagai contoh,di dalam aspek ibadah, suci daripada hadas kecil dan besar menjadi syarat sah dalam menunaikan solat. Sekiranya seseorang itu tidak berada di dalam keadaan yang suci,maka tidak sahlah solat berkenaan kerana syarat sahnya tidak dipatuhi. Hal ini bersandarkan kepada dalil yang berbunyi :

“Allah tidak menerima solat orang yang tidak dalam keadaan bersuci”[5]

Oleh yang demikian, Syarak telah membahagikan syarat ini kepada dua pecahan utama iaitu Syarat Syar`i/Hakiki dan Syarat Jali. Syarat Syar`i ialah syarat yang telah ditetapkan oleh nas Syarak iaitu sesuatu pekerjaan yang disuruh dikerjakan umatnya sebelum mengerjakan pekerjaan yang lain, dan pekerjaan yang lain itu tidak akan diterima sekiranya tidak hadirnya pekerjaan yang pertama tadi. Misalnya, di dalam bab munakahat iaitu saksi dalam nikah. Kewujudan saksi menjadi syarat sahnya pernikahan yang berlaku dan ketiadaannya menjadi sebab nikah tidak diterima menurut pandangan Syarak. Hal ini disebut secara jelas di dalam banyak kitab-kitab fikh munakahat dan dipandukan dengan hadis berikut :

"Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan ada saksi yang adil"[6]

Syarat Jali pula merujuk kepada sesuatu syarat yang ditetapkan oleh manusia yang mukallaf dengan perkataaan seperti “jika,kalau,sekiranya dan sebagainya”. Sebagai contoh, bab takliq dalam talak yang berlaku di dalam urusan penceraian. Ucapan talak yang dikaitkan dengan sesuatu tidaklah jatuh talaknya melainkan apabila kaitan syarat itu terjadi..Sebagai contoh, sekiranya si suami mengatakan; “ apabila engkau keluar dari rumahku,maka tertalaklah engkau”, maka jatuhlah talak itu yang telah ditetapkan oleh manusia yang mukallaf di mana perkaitan itu menjadi syarat terhadap gugurnya talak.

HUKUM WAD`IE ( PENGHALANG/MANI`)

Halangan atau mani` ini bermaksud sesuatu yang dengan wujudnya ia akan mentiadakan hukum dan membatalkan sebab. Penghalang hukum itu ialah suatu keadaan yang mengandungi hikmah yang berlawanan dengan hukum yang dihalanginya. Contohnya, hak pewarisan harta bagi seorang anak yang merupakan seorang pembunuh. Pada asalnya, anak itu menjadi sebab utama kepada berlakunya pewarisan harta ke atas mereka, namun sekiranya anak itu didapati merupakan seorang pembunuh, maka terbatallah haknya dalam mewarisi harta itu menurut syarak. 

Contoh lain yang dapat menggambarkan mani` ini sebagai penghalang terjadinya hukum ialah bab hutang piutang. Apabila seseorang memiliki harta ,namun hartanya pula sebanyak hutangnya,maka menurut mazhab Hanafi tidaklah diwajibkan keatas mereka membayar zakat harta kerana hikmah diwajibkan zakat harta itu adalah untuk membantu golongan yang fakir dan miskin hasil kelebihan rezeki yang diperolehi seorang manusia. Dalam hal ini,orang yang berhutang sebanyak hartanya, tidak memiliki kelebihan rezeki itu. Namun begitu, mazhab As-Syafie tetap mewajibkannya ke atas setiap mukallaf.

Penutup  

Al-Quran dan perundangan Islam  tidak dapat dipisahkan setinggi mana sekalipun nilai intelektual manusia dalam mentadbir urusan kehidupan ini. Setinggi mana pun  manusia mampu berfikir, setiap perbuatan dan perlakuan manusia masih tertakluk di bawah suatu sistem yang dinamakan perundangan dan hanya perundangan yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah mampu membimbing manusia ke jalan yang benar di samping menjamin kemaslahatan bersama dan menghindarkan kemudharatan yang mungkin tercetus dek pelbagainya ragam manusia yang hidup di dunia. Disinilah cantiknya Islam kerana sumber asas perundangannya digariskan daripada kesempurnaan Al-Quran dalam menetapkan hukum syarak yang mencakupi semua aspek kehidupan.

Islam sendiri memberikan kebebasan dari sudut pengkajian dan penyelidikan,namun haruslah berdasarkan kepada dalil dan meletakkan Al-Quran yang merupakan wahyu Allah sebagai sumber rujukan tertinggi.Ini dibuktikan kerana wahyu Allah mengatasi ketinggian pencapaian intelektual manusia dan keupayaan akal yang terbatas malah  hadir tanpa sempadan kuasa kerana ianya datang dari pencipta yang menciptakan segalanya di muka bumi ini. Wahyu Allah ini ternyata sempurna dalam segala perincian hidup malah terjamin keasliannya hingga ke hari ini kerana Allah lah yang mencipta dan Dialah yang memeliharanya.Wallahualam..

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-quran dan sesungguhnya Kami(pulalah) yang memeliharanya “[7]



[1] Pengantar Hukum Islam Jilid 2 m/s 191
[2] Surah Al-Baqarah Ayat 173
[3] Surah An-Nisa` Ayat 102
[4] Pengantar Hukum Islam Jilid 2 m/s 196
[5] Hadis riwayat Muslim
[6] Hadis riwayat Ahmad
[7] Surah Al-Hijr ( Ayat 9 )

Sumber: Bahan Assignment subjek Usul Fikh saya  semester ini.
p/s: Sebarang kekhilafan harap dimaafkan,hanya berniat untuk berkongsi sedikit bahan yang berjaya dihadam dari pelbagai sumber rujukan.Apa yang baik datang dari Allah,kekurangan itu datang dari saya sendiri sebagai seorang manusia biasa ..wallahualam..semoga Allah memudahkan anda semua,syukran!:)

2 comments:

myilham.com said...

Alhamdulillah, perkongsian saudari meskipun mirip kepada nota namun sgt berguna utk rujukan dan refreshment. teruskan menulis ilmu2 yg bermanfaat seperti ini. akan datang, boleh upgrade dari 'nota' kepada 'cernaan' pula :)

durrahnur said...

syukran ustaz,mudah-mudahan dpt dicerna lebih mendalam kelak,insyaAllah..:)

Post a Comment

komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers