Pages

Wednesday, November 23, 2011

Hukum Syarak : Taklifi Part 2

hukum taklifi ( sunat )



sunat dari segi bahasanya ialah jalan yang ditempuhi,manakala dari segi istilahnya menurut ulama` fiqih ialah sesuatu perkerjaan yang dituntut oleh Syarak untuk dikerjakan,tetapi tidak dengan tuntutan yang menunjukkan kepada mesti.[1]. Ianya merupakan satu tuntutan ringan yang diperintahkan melalui ayat suruhan tetapi mempunyai qarinah (petanda) yang tidak mewajibkannya. Hukum sunat juga disebut sebagai mandub,nafilah,mustahab dan fadhilah. Ia dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu :


a)     Sunat Muakkad/Al-Huda – sesuatu yang tetap dikerjakan Rasulullah SAW tanpa ditinggalkan. Dari aspek sosialnya,baginda menganjurkan nikah semasa mampu seperti yang dinyatakan dalam nas berikut :

“Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan mengeluarkan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin kerana perkara ini akan memejamkan mata dari melihat perempuan ajnabi dan akan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang ketiadaan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berpuasa. Maka bahawasanya puasa itu melemahkan syahwat jimak.”[2]

b)     Sunat Ghayr Muakkad – sesuatu yang tidak selalu dilakukan Rasulullah SAW seperti memberikan sedekah kepada yang berkemampuan bekerja.Hal ini disebutkan di dalam petikan hadis berikut : 

"Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang yang kuat yang mampu berkerja".[3]

c)      Sunat Zai`dah- segala pekerjaan yang dilakukan Nabi yang termasuk dalam urusan adat kebiasaan manusia seperti mandi,makan,tidur dan sebagainya. Pekerjaan ini merupakan antara perkara-perkara yang perlu dilalui seorang manusia dalam meneruskan kehidupannya
h    
       HUKUM TAKLIFI ( HARAM )
 
Haram dari segi bahasanya ialah yang dilarang. Dari sudut pengertian istilahnya, sesuatu yang dituntut oleh syarak untuk meninggalkannya atas dasar yang definitif  dan tegas. Orang yang meninggalkannya diberi ganjaran manakala yang melakukannya adalah berdosa sama ada ditunjuk oleh dalil yang Qat`ie atau Zanni (yang diharamkan hadis Ahad).Bagi mazhab Hanafi, haram ialah sesuatu yang ditunjukkan oleh dalil Qat`ie, manakala dalil zanni disebut itu dinamakan sebagai makruh tahrim. 

Hukum haram dapat difahami melalui lafaz haram yg digunakan atau lafaz yg menafikan halal seperti “ hurrimat” atau “ la yahillu”. Ianya merupakan larangan yang membebankan supaya meninggalkan sesuatu dari pelbagai aspek kehidupan sama ada dari sudut perbuatan seperti berzina dan mencuri,dari sudut perkataan seperti mengumpat dan memfitnah,dari sudut hati seperti hasad dengki dan dendam kesumat dan dari sudut kebendaan seperti meminum arak dan berjudi.Haram terbahagi kepada dua pecahan iaitu :

a)     Haram lidhathin - Apa yang diharamkan oleh syarak sejak awal lagi kerana wujud kemudharatan dan kerosakan didalamnya. Contohnya zina , kahwin dengan mahram, makan bangkai dan sebagainya berdasarkan dalil-dalil dibawah. Maka bagi pelakunya akan mendapat dosa atau hukuman dan ia tidak boleh menimbulkan sesuatu kesan hukum syarak. Namun begitu syarak kadang mengharuskan sesuatu pebuatan haram lidhathin kerana darurat terutama untuk menjaga lima perkara meliputi aspek keagamaan,nyawa,akal,maruah dan harta.

“ Diharamkan ke atas kamu memakan bangkai, dan darah dan daging babi,dan apa-apa yang disembelih kerana selain daripada Allah; dan yang (mati) dicekik,dan (mati)ditanduk,dan yang (mati) ditolak binatang buas,kecuali barang yang kamu ( sempat ) sembelihi,dan binatang-binatang yang disembelih atas nama berhala”[4]

“Dan janganlah kamu mendekati zina,sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji…..”[5]

b)     Haram lighayrih - Haram jenis ini merujuk kepada sesuatu yg pada awalnya disyariatkan kerana tidak ada mudarat atau manfaat yg ada adalah lebih banyak tetapi disertakan dengan perbuatan lain yg haram.Misalnya  solat diatas harta yang dirampas. Perbuatan ini asalnya diharuskan tetapi telah disertakan dgn perbuatan lain yg memudaratkan. Dalam konteks haram lighayrih ada ulamak berpendapat perbuatan itu sah dan ada kesan hukum seperti jualbeli pada azan jumaat adalah sah tetapi berdosa, dan ada ulamak yg mengatakan perbuatan itu haram dan tidak ada kesan hukumnya.Hal ini berpandukan kepada firman Allah yang berbunyi :

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” [6]

HUKUM TAKLIFI ( MAKRUH )

Makruh dari segi bahasanya bermaksud yang tidak disukai. Namun begitu, dari sudut syarak ia didefinasikan sebagai suatu pekerjaan yang dituntut agar ditinggalkan dengan maksud membersih(tanzih). Sesetengah ahli usul fikh turut mentakrifkannya sebagai sesuatu yang dipuji apabila ditinggalkan,namun tidak dicela orang yang mengerjakannya.[7] Hukum makruh terbahagi kepada 2 unsur tegahan yang dijumpai dalam 2 bentuk iaitu : 

a)     Makruh Tanzih – bermaksud meninggalkan sesuatu yang tidak dirasa akan disiksa dengan mengerjakannya[8] dan  bersandarkan kepada larangan dalil zanni. Dalam aspek sosial misalnya, Islam menegah umatnya memakan sesuatu yang busuk dan meninggalkan bau seperti makan petai dan juga budu.Namun begitu,meninggalkannya adalah lebih baik kerana ia memudahkan ibadah dilaksanakan dan menjaga kemaslahatan sekeliling. Hal ini bersabitkan dengan nas yang berbunyi :

"Barangsiapa yang makan bawang merah, bawang putih dan petai, maka
janganlah sekali-kali mendekati masjid kita, karena sesungguhnya malaikat itu
merasa disakiti yakni tidak enak perasaannya sebagaimana merasa disakitinya
- yakni tidak enaknya perasaan - anak Adam daripada bau benda-benda itu."[9]

b)     Makruh Tahrim – bermaksud sesuatu larangan yang diharamkan syarak dari dikerjakannya bersandarkan kepada dalil yang qat`ie. Sebagai contoh, di dalam aspek munakahat misalnya, Islam menegah kita daripada melakukan pinangan ke atas pinangan orang lain.Hal tersebut jelas disebutkan di dalam sebuah hadis sahih :

" Nabi (SAW) melarang membeli sebahagian daripada kamu akan (belian) orang lain dan melarang seorang lelaki meminang ke atas pinangan saudaranya sehingga peminang ( pertama ) meninggalkan ( menolak ) sebelumnya atau memberi izin dari peminang ( yang pertama ) bagi dirinya (peminang kedua). "[10]

 HUKUM TAKLIFI (HARUS )

Harus dari sudut bahasanya ialah sesuatu yang dibolehkan,sesuatu yang dibolehkan kita mengambilnya dan dibolehkan kita tidak mengambilnya. Dari segi uruf syarak, ia merupakan sesuatu yang tidak dipuji sekiranya melakukannya dan meninggalkannya. Sekiranya sesuatu perkara yang harus itu akan menyampaikan kita kepada perkara yang tertegah agama,maka ia turut ditegah syarak. Hukum meminang secara sindiran diharuskan di dalam Islam dan ada disebut di dalam Al-Quran yang berbunyi : 

“ dan tidak berdosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia,kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang maaruf” [11]


[1] Pengantar Hukum Islam,jilid 2 m/s 164
[2] Hadis yg disepakati ahli hadis
[3] Hadis riwayat Abu Daud
[4] Surah Al-Maidah AYat 3
[5] Surah Al-Isra` Ayat 32
[6] Surah Al-Jum`ah Ayat 9
[7] Pengantar Hukum Islam Jilid 2,m/s 172
[8] Pengantar Hukum Islam Jilid 2 m/s 172
[9] Hadis riwayat Imam Muslim
[10] Hadis riwayat Bukhari
[11] Surah AL-Baqarah Ayat 235


Sumber: Bahan Assignment subjek Usul Fikh saya  semester ini.
p/s: Sebarang kekhilafan harap dimaafkan,hanya berniat untuk berkongsi sedikit bahan yang berjaya dihadam dari pelbagai sumber rujukan.Apa yang baik datang dari Allah,kekurangan itu datang dari saya sendiri sebagai seorang manusia biasa ..wallahualam..semoga Allah memudahkan anda semua,syukran!:)

0 comments:

Post a Comment

komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers