Pages

Wednesday, November 23, 2011

Pembinaan hukum syarak : Usul Fikh


Islam merupakan agama yang menganjurkan satu cara hidup yang amat bertepatan dengan kehendak dan fitrah seorang manusia. Ia bukanlah hanya agama yang  menekankan aspek keagamaan semata-mata, malah  cakupannya begitu menyeluruh sehingga menyentuh cara hidup yang benar sebagai landasan yang membantu manusia mengemudi bahtera kehidupan masing-masing. Landasan atau jalan hidup yang dimaksudkan disini ialah wujudnya hukum-hukum tertentu bagi menjamin kemaslahatan dan menjauhkan  kemudaratan daripada manusia  sama ada yang dapat dikesan oleh pancaindera manusia dan diterima logik akal atau sebaliknya. 
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi juga pernah menyebut, tidak ada suatu pun arahan daripada Allah dan RasulNya daripada nas-nas yang dijumpai didalam Al-Quran dan As-Sunnah itu merupakan perkara yang mustahil kerana sekiranya ada perkara berkenaan,sudah pastinya dalil –dalil berkenaan kurang sahih dan juga kelemahan manusia dalam mencerap hikmah dan kebaikan yang terdapat di dalamnya.  Imam Izzuddin Abdul Salam turut mengulas perkara yang sama di dalam kitabnya[1],tidak dilupakan juga Imam Ibn Taimiyyah turut menyebutnya.
Hukum-hukum ini dikenali sebagai hukum Syarak yang merupakan khitab Allah SWT yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf sama ada ianya berbentuk tuntutan (iqthida`),pilihan (takhyir) atau wadi`e.
Penegakan hukum di dalam Islam  sudah pastinya berbeza daripada ajaran agama lain, kerana ia tidak hanya menyebut hukum-hukum berkenaan tetapi memastikan ianya benar-benar dilaksanakan oleh setiap penganutnya. Pemastian inilah yang menyebabkan Islam memiliki hukum-hukum tertentu yang mencakupi kesemua aspek kehidupan manusia dan tidak bertentangan dengan fitrah manusia,sebaliknya menjaga kemaslahatan baik untuk bagi individu ataupun masyarakat. 
 
Oleh itu,setiap manusia yang telah baligh dan berakal ( mumaiyiz ) yang telah sampai dakwah Islam terhadapnya digelar sebagai seorang yang mukallaf. Mukallaf bererti mereka yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka hukum syarak agar melaksanakan apa jua yang disuruh dan meninggalkan apa jua yang dilarang di dalam urusan kehidupan mereka. Namun begitu, sifat hukum Syarak bukanlah menindas dan menyekat keperluan individu, sebaliknya ia dibebankan kepada seseorang mukallaf itu dengan sesuatu yang mampu dilakukan manusia itu menurut hukum yang telah ditetapkan.
Seseorang mukallaf itu perlulah memiliki kemampuan dalam memahami dalil-dalil dan mereka memahami sesuatu yang dibebankan kepadanya. Tuntutan yang diperintahkan Syarak secara jelas mencakupi setiap aspek kehidupan manusia dalam segala hal,malah tidak ada satu perkara atau perbuatan sekalipun terlepas dari asas pembinaan hukum syarak. Setiap taklif ( suruhan )yang dibebankan keatas setiap mukallaf hanya akan sah apabila ia menuruti syarat-syarat berkenaan :

a)     Sesuatu perbuatan itu boleh diketahui mukallaf cara-caranya seperti solat.
b)     Telah diketahui bahawa hukum itu daripada Allah SWT sebagai perintahNya.
c)      Hukum itu mampu dilaksanakan.


Sudah tentu setiap perintah Syarak memiliki kesulitannya ( masyaqqah) bagi setiap manusia yang mukallaf, namun perlu diimbas kembali bahawa tertegaknya hukum syarak bukanlah bersifat menindas keperluan manusia, sebaliknya ia bertujuan untuk menjadi pengubat kepada maksiat yakni mencegah kemudaratan dan mentebarkan kemaslahatan bagi menjamin kemurnian Islam sejagat.


[1]  Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam

0 comments:

Post a Comment

komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers