Istilah Al-I`jaz Al-`Ilmiyy (kemukjizatan ilmiah) Al Qur’an mengandungi makna yang menerangkan bahawa sumber ajaran Islam telah mengkhabarkan kepada kita mengenai fakta-fakta ilmiah yang telah ditemui dan dibuktikan oleh eksperimen-eksperimen sains manusia hasil kajian dan penyelidikan semasa, dan terbukti tidak dapat dicapai mahupun diketahui dengan terperinci semasa zaman Rasulullah S.A.W . Walaubagaimanapun, kemajuan ilmu pengetahuan telah menyingkap rahsia-rahsia agung Al-Quran ini.
Kemukjizatan ilmiah ini telah menunjukkan kesepaduan tanda-tanda kebenaran yang dibawa Al-Quran dengan penciptaan alam semesta yang berhubungkait pula dengan kekuasaan Allah S.W.T. Sesungguhnya,pemilik hati-hati yang bersih dan terang sentiasa mengakui kekuasaan Allah ini dan sentiasa tunduk kepada kebenaran tauhid yang dibawa Rasulullah,namun bagi yang ingkar pelbagai alasan dan helah telah dicari bagi menyembunyikan kebenaran yang dijumpai dan telah berada didalam kesesatan seperti firman Allah :
“Dan demikianlah, Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al-Quran) dengan perintah kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al-Kitab ( Al-Quran ) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu,tetapi Kami menjadikan Al-Quran itu sebagai cahaya yang Kami berikan petunjuk dengan sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami.Dan sesungguhnya Kami benar-benar member petunjuk kepada jalan yang lurus.”[1]
Syeikh Abdul Majid Az-Zindani turut mengulas tentang mukjizat ilmiah dalam Al-Quran ini; “…datang ilmu ujikaji moden yang mendalami kajian-kajian yang luas di dalam pelbagai bidang, dengan bantuan alat-alat yang canggih dan setelah beberapa penyelidikan bersama seangkatan pengkaji-pengkaji lain , terbentuklah satu bahagian di samping satu bahagian (yang lain) dan apabila fakta tersebut telah siap sempurna, tiba-tiba didapati ianya telah pun dinyatakan di dalam kitab Allah (Al-Quran) sebelum 1400 tahun [yang lalu]. Lalu orang ramai pun mendapat tahu bahawa Al-Quran ini diturunkan dengan ilmu Allah, dan bukannya [datang] dari sisi seorang utusan yang [berada] di zaman .. kerana sebelum 1400 tahun lalu tidak ada sebarang peralatan kajian saintifik…..”[2]
Kemukjizatan ilmiah ini menjadi suatu sesuatu penanda aras yang dapat membuka mata hati kita untuk menilai sendiri kebenaran yang dibawa Al-Quran dengan teori-teori saintifik yang meluas pada hari ni.Oleh itu, seharusnya perkara ini menjadi suatu dorongan yang kuat kepada kita untuk terus beriktikad dengan kalimah tauhid yang benar. Antara i’tibar yang dapat diperoleh dalam mukjizat ilmiah Al-Quran adalah ia dapat motivasi bagi manusia dalam mengikuti perkembangan sains dengan kebenaran Al-Quran . Allah Ta’ala berfirman :
“Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.”[3]
Namun begitu, kemukjizatan ilmiah didalam Al-Quran tidak sepatutnya meletakkan Al- Quran itu sebagai kitab sains. Namun ia dapat memberikan isyarat untuk melakukan kajian lebih jauh terhadap perkembangan sains, sebagaimana yang disebut dalam Al -Quran :
“(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).…” [4]
[1] Surah As-Syura ( Ayat 52 )
[2] Disampaikan oleh Syeikh A M Az-Zindani pada sebuah kajian yang bertajuk Keajaiban Saintifik Di Dalam Al-Quran, 2002.
[3] Surah Sad ( Ayat 29 )
[4] Surah Al-Baqarah ( Ayat 143 )
0 comments:
Post a Comment
komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..