Pages

Sunday, October 3, 2010

PART 2 : Penemuan saintifik - HAKIKAT PENCIPTAAN ALAM SEMESTA...


IN THE NAME OF ALLAH..THE MOST GRACIOUS AND MERCIFUL

Memasuki ke bahagian kedua ini,kita akan melihat sejauh mana ketepatan perincian Al-Quran dengan penyelidikan yang telah dijalankan para saintis.Hakikatnya,Allah swt telah mencabar manusia didlm kalamullah dengan firmanNya:

“ Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri.Sehinggalah jelas bagi mereka Al-quran itu benar…”[1]

Allah S.W.T. memperlihatkan makhluk-makhluknya setiap penjuru dengan pengetahuan yang hadir dengan kebenaranNYA dan salah satu daripadanya ialah berdasarkan daripada kajian-kajian sains kerana penemuan-penemuan hari ini telah pun disentuh Al-Quran ratusan tahun sebelumnya.Salah satu daripada kebesaran ciptaan Allah ialah penciptaan alam semesta yang giat dibahaskan saintis-saintis Barat masa kini. Firman Allah S.W.T :

“Kemudian Dia menuju ke langit dan (langit) itu masih berupa asap, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi, “Datanglah kamu berdua menurut perintahKu dengan patuh atau terpaksa.” Keduanya menjawab, “Kami datang denga patuh.” Lalu diciptakanNya tujuh langit dalam dua masa dan pada setiap langit Dia mewahyukan urusan masing-masing. Kemudian langit yang dekat (dengan bumi), Kami hiasi dengan bintang-bintang, dan (Kami ciptakan itu) untuk memelihara. Demikianlah ketentuan (Allah) Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui.”[2]

Al-Quran sendiri dengan jelasnya telah menyatakan bahawa langit dan permulaan kejadiaannya adalah dari awan/asap( dukhan ).Bermula daripada asap inilah lahirnya bintang-bintang serta galaksi yang disusuli dengan kelahiran sistem suria dan bumi. Malah As-Syeikh Said Hawa turut membahaskan hujah yang sama dalam kitab penulisannya; “ Sesungguhnya memang sudah ada suatu keyakinan sebelum terjadinya bintang-bintang,keadaan di angkasa raya adalah seperti dalam bentuk gas seperti asap.” [3]

Sebaliknya, saintis-saintis hari ini berbeza-beza mentafsir permulaan kejadian alam semesta ini. Namun begitu, setelah Edwin Hubble (1929) mengembangkan penemuannya menerusi teleskop Hubble, dunia mulai memahami proses penciptaan alam semesta. “Teori Big Bang-nya menjelaskan tentang dentuman besar yang melahirkan planet, matahari, satelit, asteroid, dan benda-benda langit lainnya. Dari ledakan itu, barulah tercipta unsur-unsur kimia, termasuk unsur hidrogen dan helium. Berhubungan dengan fenomena ini, Allah telah menjelaskan dalam firmannya:

“ Dan langit Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami dan kami benar-benar meluaskannya”[4]

Pada 16 Mac 2006,sebuah laman sesawang Space.Com telah melaporkan sepasukan saintis astronomi NASA telah menemui bukti-bukti baru yang mengukuhkan teori BIG-BANG. Mereka mendapati bahawa pada peringkat awal kejadian, alam ini lebih kecil daripada atom. Selepas itu,dalam masa satu perstrilion saat,ia mula mengembang menjadi alam yang luas sekaligus menampakkan kebenaran yang dibawa Al-Quran.[5]


GERAKAN MATAHARI,BULAN DAN BUMI

Al-Quran telah menjelaskan bahawa matahari memiliki batasan peredaran tertentu dan sesuai dengan penemuan sains hari ini,yang menyatakan bahawa matahari serta angkatan kumpulannya itu sendiri bergerak sejauh 19 km ke tempat yang kedua. Ini dapat dirujuk kepada firman Allah yang berbunyi :

Matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Mahaperkasa lagi Maha Mengetahui. Telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua. Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.” [6]

Sesungguhnya , pengetahuan ini ditemui oleh para ilmuwan moden pada permulaan abad ke 20,setelah munculnya penemuan astronomi yang menyatakan bahwa matahari memiliki gerakan hakiki di ruang angkasa dengan ukuran dan arah yang tertentu seperti yang telah dijelaskan sebelumnya.Oleh itu,sekiranya matahari turut memiliki gerakan khas diatas paksinya sendiri,demikianlah jua perjalanan sang bulan dan bumi mengikut kadar ketentuan Ilahi.Hal ini sendiri telah disahkan oleh pakar-pakar astronomi serta dilaporkan secara meluas di laman-laman sesawang (website)[7].

Penemuan semasa turut mengesahkan bahawa matahari turut bergerak mengelilingi galaksi bernama Bimasakti(Milky Way)[8] dan ia bergerak mengelilingi bahagian tengah galaksi dengan kelajuan sejauh 220 km/saat.Justeru,ia memerlukan masa selama lebih kurang 225 juta tahun bagi melengkapkan satu pusingan mengelilingi bahagian nukleus galaksi ini.Oleh itu, benarlah kata-kata Allah dalam Surah Yasin Ayat 38 diatas yang mengisyaratkan objek-objek di angkasa raya, selain berputar diatas paksi masing-masing,ia turut beredar mengelilingi pusat galaksinya mengikut kadar ketetapan Allah. Firman Allah:

“Allah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar menurut waktu yang telah ditentukan. Dia mengatur urusan (makhlukNya) dan menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNya), agar kamu yakin akan pertemuan dengan Tuhanmu.” [9]

“ Dan Dialah yang menciptakan malam dan siang,matahari dan bulan. Kesemuanya beredar (yasbahuun) dalam falaknya”[10]

Seperkara yang menarik perhatian saya disini, ialah bagaimana Allah menafsirkan perkataan yashabuun didalam firmanNYA yang melambangkan banyak. Said Hawa didalam kitabnya [11] menjelaskan bahawa perkataan yashabuun adalah perkataan perbuatan yang digunakan bagi menjelaskan objek yang berjumlah banyak melebihi dua.Jika dikaji daripada ayat diatas,Allah S.W.T hanya membicarakan mengenai matahari dan bulan, namun apa yang menarik disini ialah dimanakah tersembunyinya objek yang ketiga bagi keterangan firman Allah ini?Jika direnung secara kasar,kejadian malam dan siang pula tidaklah merujuk kepada objek sebaliknya lebih membawa kepada fenomena alam yang berlaku di muka bumi.

Oleh yang demikian, disebabkan Allah mengatakan fenomena malam dan siang berputar( yashabuun), maka secara tidak langsung ia menjelaskan bumi turut berputar diatas paksinya sendiri dan hasil kejadian itu, lahirlah pula fenomena malam dan siang.Subhanallah,betapa saintifiknya dalil Al-Quran yang kenyataannya selari dengan penemuan semasa[12].Sesungguhnya,tiada perkara yang benar melainkan apa yang disampaikan Al-Quran.

Sesungguhnya kami Telah mengutus rasul-rasul kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata …[13]

wallahualam..
sambungannya berikutnya..tggu ye...

[1] Surah Al-Fussilat ( Ayat 53 )

[2] Surah Al-Fussilat ( Ayat 11-12)

[3] Al-Asas fi Al-Tafsir ( rujukan Al-Quran Saintifik)

[4] Surah Az-Zariyat ( Ayat 47 )

[5] Penemuan berdasarkan data yang disalurkan satelit Wilkinson Microwave Anisotropy Probe NASA yang dilancarkan pada 2001(rujuk Rajah 1 di muka 18)

[6] Surah Yasin (Ayat 38-40)

[7] Wikipedia Encyclopedia (Rotations)-en.wikipedia.org

[8] Rujuk rajah 2 di muka 18

[9] Surah Ar-Rad (ayat 2)

[10] Surah Al-Anbiya` (Ayat 33)

[11] Al-Asas fi al-Tafsir ( rujuk Al-quran saintifik)

[12] Rujuk rajah 3 dan 4 di muka surat 19

[13] Surah Al-Hadid ( Ayat 25)

0 comments:

Post a Comment

komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers