Pages

Saturday, February 26, 2011

Part 3: Sambungan kupasan saa`dah dari perspektif Islam


 Kebahagiaan yang hakiki didalam Islam menurut Imam Al-Ghazali ialah kebahagiaan ukhrawi ( saa`dah al-ukhrawiyah ) yang diperolehi hanya dengan mencari dan mengumpulkan saham akhirat dengan sepenuh jiwa  dan membangunkan duniawi selari dengan apa yang disyariatkan Allah. Beliau membahagikan aspek kebahagiaan kepada dua aspek utama yang terdiri daripada aspek negatif dan aspek positif yang bertepatan dengan dalil-dalil Al-Quran Al-Karim.
Aspek negatif kebahagiaan yang dilihat oleh Imam Al-Ghazali  adalah seperti kesenangan dunia yang mengakibatkan manusia mulai lupa akan tujuan kehidupan dan menjerat kehidupannya di akhirat kelak.Secara lahiriahnya,manusia itu bakal  berbahagia dengan apa yang dimilikinya, namun kenikmatan yang dirasakan kebahagian itu bakal menjerat mereka  kearah kebinasaan dan kehancuran hidup dek lalainya mereka dalam mentaati perintah Allah angkara terlalu leka dengan keseronokan duniawi yang dirasakan syurga dunia nyata yang indah belaka.

Akhirnya,seseorang manusia itu akan mati dalam keadaan kehinaan dan menderita sebagai balasan atas apa yang telah dikerjakan mereka didunia sebelumnya.[1]Allah telah pun memberi peringatan yang jelas menerusi firmanNya;

“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”[2]

Namun begitu,beliau tidak menolak kesemua kenikmatan dunia itu untuk dirasai manusia sebagai pandangan yang merosakkan kerana sememangnya  fitrah manusia  turut memerlukan kepada urusan dunia dalam membangunkan kehidupan di dunia dan akhirat,malah beliau sendiri meraikan fitrah yang dikurniakan Allah SWT. Antaranya seperti keperluan terhadap tuntutan ilmu dan melakukan kebaikan menggunakan nikmat-nikmat yang Allah berikan seperti kekayaan dengan menyalurkannya kepada jalan yang benar dan menikmati ibadah perkahwinan selari dengan panduan yang telah digariskan syariat agar dapat membantu manusia untuk memperolehi kebaikan dan kebahagiaan di akhirat.[3]

Kehidupan di akhirat sesungguhnya tidak sama dengan sistem kehidupan di dunia di mana manusia tidak ditaklifkan lagi dengan sebarang bentuk tanggungjawab dan amanah seperti yang diberikan oleh Allah ketika hidup di dunia malah tiada lagi sebarang bentuk kebaikan mahupun kejahatan. Bahkan, apa yang bakal dilalui umat manusia pada ketika itu hanyalah menerima setiap balasan di atas setiap amalan yang dilakukan di atas muka bumi semasa hayatnya, dan balasan inilah yang akan menentukan sama ada membawa kepada kebahagiaan yang hakiki iaitu dengan balasan yang baik ataupun sebaliknya.

Imam Al-Ghazali turut menukilkan bahawa kebahagian hakiki yang tiada taranya di akhirat ialah  apabila  hamba-hambaNya yang istimewa(khawash) itu diperlihatkan baginya Allah SWT secara langsung dan hal ini hanya berada di dalam rahsia dan pengetahuan Allah yang Maha Mengetahui.Malah, menurutnya kebahagiaan ini bakal membuatkan manusia lupa akan segala bentuk kenikmatan dan keseronokan yang berada di  syurga kerana nikmat di syurga tidak bernilai apa-apa dibandingkan dengan melihat keindahan Allah SWT.

Inilah kebahagiaan yang sejati dan tiada bandingannya, namun begitu kebahagiaan tertinggi bagi orang-orang awam ialah mencapai syurgaNya( jannah)[4].Malah seseorang itu tidak memasuki syurga kerana amal kebajikannya sahaja,tetapi ia berdasarkan kepada rahmat dan belas ihsan Allah SWT yang Maha Menghitung biarpun manusia itu banyak melakukan kemungkaran semasa hayatnya.Oleh itu,bersangka baiklah dengan Allah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan berdoalah agar Allah mengasihi kita di dunia dan akhirat kelak.

Dari aspek positif,kebahagiaan itu datang dengan adanya kesedaran terhadap penghayatan ilmu yang benar yang mampu membimbing kepada kebahagiaan dan keselamatan kehidupan di dunia dan akhirat.Menurut Imam Al-Ghazali lagi, kebahagiaan yang sebenar-benarnya hanya dapat ditemui di akhirat.Oleh itu,bagaimanakah pula caranya mencapai kebahagiaan yang hakiki yang memerlukan kesungguhan dan usaha yang istiqamah semasa di dunia?Beliau menyatakan pentingnya menghayati ilmu pengetahuan dengan sepenuh hati kerana ianya adalah asas utama untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki dengan  menjiwainya dengan sepenuh  keimanan dan ketakwaan.

Beberapa aspek penting perlu diberi penekanan iaitu ilmu pengetahuan yang benar,mengamalkannya dengan cara yang sahih,menyucikan jiwa dari unsur-unsur mazmumah,membangun dan mempertingkatkan unsur kerohanian dengan amalan-amalan yang baik dan akhir sekali menerapkan nilai akhlak yang mulia di dalam kehidupan.[5]

Dalam mempertingkatkan aspek kerohanian, kawalan terhadap hati (qalb) dan anggota pelaksananya( jasad) amat perlu. Imam Al-Ghazali menyatakan bahwa jiwa (nafs) manusia itu umpama  sebuah kota.[6] Hati pula adalah rajanya, nafsu ( nafs )adalah pengawal kotanya, akal(aql) adalah panglimanya, kekuatan marah( nafs al-ammarah ) adalah musuh-musuhnya yang memiliki dendam kesumat . Hati berfungsi sebagai raja yang menasihati kerajaan kotanya agar mampu untuk bertenang.

Hati perlu segera menasihati seluruh isi kotanya, kerana pengawal kotanya adalah nafsu ( nafs ) manakala kekuatan marah ( nafs al-ammarah ) menjadi musuh kotanya, dan jika hati berhenti untuk menasihati seluruh isi kotanya maka hancurlah kota tersebut, dan dengan itu hancurlah jiwa manusia. Hati yang bertindak sebagai raja turut perlu bijak mengawal gerakan panglimanya( akal ) dalam  menundukkan pengawal kotanya (nafs) dan musuhnya ( ammarah ) mampu dikendalikan sebaik mungkin oleh panglimanya. Jika perkara ini berlaku,maka amanlah kota dan bahagialah jiwa manusia.

Oleh itu, semua aspek ini perlulah dikawal rapi menerusi kaedah bermujadah di dalam amalan dan mengislahkan diri kepada suatu bentuk penghijrahan dalaman dengan tazkiyatun nafs  yang istiqamah agar matlamat untuk mencari kebahagian yang hakiki tidak tinggal sebagai angan-angan tetapi ianya satu harapan yang membangunkan keseluruhan jiwa manusia kearah kesejahteraan dan kebahagiaan  di dunia dan akhirat.




[1] Abu Hamid al-Ghazali,Kimiya-i Sa`adah ,halaman 94-95
[2] Surah Al-Hadid Ayat 20
[3] Abu Hamid al-Ghazali,Kimiya-i Sa`adah ,halaman 79
[4] Abu Hamid Al-Ghazali “ Kitab Dhikr al-Mawt wa ma Ba`dahu” in Ihya`,vol. 6 halaman 196
[5] Diterangkan didalam kitab Al-`ilm dan Kimiya-i Saa`dah 
[6] Al-Ghazali and His Theory of The Soul, halaman 196 perenggan 2

0 comments:

Post a Comment

komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers