Oasis ramadhan itu tiba…seperti..
Selembut hembusan bayu padang pasir,kemuliaan Muharram dirai seterusnya dengan kehangatan safar yg membara,bersilih ganti dengan bulan-bulan Islam yang lain menemukan kita dengan kemuncak Ramadhan. Bulan yang tersimpul di sebaliknya seribu satu hikmah bagi hamba-hamba Allah yang mencari kebenaran syiar agama, merendahkan hati dengan serendah-rendah menadah tangan memohon keampunan yang Maha Esa. Itulah kehebatan Ramadhan, menundukkan jiwa-jiwa insani untuk bertafakur padaNya dengan izin Allah. Ramadhan datang dan pergi,silih berganti ibarat bulan-bulan Islam yang lain. Namun,datangnya Ramadhan itu sendiri dengan mesejnya.
Oasis Ramadhan terus melanda..
Memungkinkan kita bermuhasabah kembali seluruh amalan yang telah kita lakukan terdahulu. Tercapaikah ibadah kita pada tahap yang sempurna, ataupun sekadar hangat-hangat tahi ayam mengikuti ritual yang di amalkan masyarakat dalam kadar masa kita tidak dituntutkan untuk berpuasa sepanjang 11 bulan yang lalu? Terjagakah sepenuhnya lidah kita daripada perbuatan mengumpat,mengeji dan mencela? Terjagakah telinga kita daripada mendengar umpatan dan bualan yang sia-sia? Terjagakah mata dan hati kita daripada melihat dan memikirkan perkara yang tidak memanfaatkan? Pokok pangkalnya, itulah kualiti yang harus dimuhasabahkan kembali menjelang kedatangan Ramadhan 2-3 hari lagi.
Bukalah hati dan lapangkanlah dada kita seluas-luasnya. Bersihkanlah hati dengan memuliakan ibu dan bapa selagi mereka masih ada, memaafkan sesiapa sahaja walaupun tidak diminta dan bersedia memohon maaf atas segala silap salah yang dilakukan sebelumnya. Ego yang tertunduk dibawah payungan hidayah Allah sudah pasti menyebabkan syaitan-syaitan terguling kecewa. Perbanyakkanlah memohon keampunan kepada Allah diatas kelalaian kita menyempurnakan ibadah selama ini,mudah-mudahan..pintu ramadhan disambut dengan penuh kemuliaan dan kesedaran akan rahmat dan kekuasaan Allah yang masih lagi meminjamkan kasihNya untuk kita meneruskan kehidupan sebagai khalifahnya. Allahlah yang disembah,dan kepada Allahlah kita berserah..
Ahlan wa sahlan ya Ramadhan Karim..semoga oasis Ramadhan ini menjadi titik kasih sayang yang erat antara hambaNya dan Pencipta dengan nilai ibadah yang bertambah sempurna dan mengeratkan hamba-hambaNYA..insyaAllah..
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu
( imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)
p/s: Penulis ingin memohon seribu kemaafan kepada semua pembaca laman HK atas segala silap dan salah sepanjang mengADMIN laman ini dalam jangka masa setahun ini. Semoga Ramadhan ini akan memimpin hati-hati yang keras kepada jiwa yang tertaut dengan kelembutan,mudah-mudahan mendidik diri kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan rahmatNya..Alfatihah buat semua saudara dan sahabat-sahabta yang telah pergi mendahului kita..Jazakallah.