Pages

Wednesday, November 23, 2011

Hukum Syarak : Taklifi Part 1


Hukum Syarak terbahagi kepada dua pecahan utama iaitu hukum taklifi dan hukum wadi`e. Hukum taklifi bermaksud Khitab Allah yang merupakan tuntutan kepada seorang mukallaf sama ada untuk melakukan  sesuatu perintah, meninggalkannya atau memilih diantara duanya iaitu sama ada melakukan sesuatu atau sebaliknya. 


Hukum ini terdiri daripada 5 pecahan utama iaitu melibatkan hukum wajib, sunat, makruh, harus dan haram. Secara ringkasnya, ia dapat difahami hukum ini berupa perintah melakukan sesuatu perkara yang Wajib atau Sunat, perintah meninggalkan perkara yang Haram dan Makruh serta pilihan untuk melakukan sesuatu perkara sama ada hendak melakukan perkara tersebut atau sebaliknya yang dinamakan Harus.

Sementara itu, hukum Wadi`e pula merupakan Khitab Allah yang menjadikan sesuatu sebagai sebab, syarat atau  penghalang kepada sesuatu hukum. Hukum ini tidak disyaratkan dengan kemampuan mukallaf yang bererti sekiranya seseorang memiliki atau tidak memiliki kemampuan sekalipun, hukum berkenaan tetap akan berlangsung. Secara asasnya, ia membincangkan bagaimana sesuatu sebab,syarat dan penghalang yang berlaku menjadi penanda berlakunya penentuan hukum taklifi.

Hukum taklifi terbahagi kepada 5 pecahan yang utama seperti yang telah diterangkan diatas meliputi hukum wajib, sunat, makhruh , harus dan haram. Wajib ( i`jab) ialah ialah tuntutan syarak ke atas mukallaf supaya melakukan sesuatu perbuatan dengan tuntutan pasti (qat`ie). Sekiranya tidak dilaksanakan, seseorang akan berdosa sebaliknya jika ia dilaksanakan,seseorang itu akan  mendapat pahala. Lazimnya, hukum wajib ini difahami daripada ayat-ayat perintah dan ayat-ayat azab dan secara umumnya, jumhur ulama` mengklasifikasikan ianya sebagai fardhu.
Hukum wajib ini terbahagi kepada empat jenis wajib yang utama iaitu :-

a)     Wajib berdasarkan waktu pelaksanaannya
b)     Wajib berdasarkan kadar yang ditentukan
c)      Wajib berdasarkan tuntutan
d)     Wajib berdasarkan pelaku

WAJIB BERDASARKAN WAKTU PELAKSANAANNYA

Wajib ini terbahagi kepada dua wajib yang utama iaitu Wajib Mutlaq dan Wajib Muqayyad. Wajib Mutlaq ialah sesuatu kewajipan yang wajib dikerjakan namun tidak bataskan tempoh waktunya. Contohnya di dalam aspek ibadah , haji boleh dikerjakan pada bila-bila masa selagi seseorang itu berkemampuan untuk menunaikannya tanpa sebarang keuzuran dan kecelakaan berdasarkan dalil Al-Quran dan hadis  yang berbunyi :

“ …mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu ( bagi ) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.Barangsiapa mengingkari (kewajipan haji),maka sesungguhnya Allah Maha Kaya( tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta.”[1]

Dari Ibnu Umar r.a , telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan berkatalah ia; “Ya Rasulullah! Apakah yang mewajibkan haji itu?”.Rasulullah menjawab; “ adanya bekal dan kenderaan.”[2]

Sementara itu,Wajib Muqayyad pula merujuk kepada sesuatu pekerjaan/ tuntutan yang diwajibkan serta ditentukan dan dibatasi dengan tempoh masa. Contohnya seperti kewajipan menunaikan solat di awal dan akhir waktunya dan juga kewajipan berpuasa apabila tibanya bulan Ramadhan yang diterangkan dengan jelas menerusi nas-nas sahih. Wajib Muqayyad dibahagikan kepada 2 pecahan kecil lain iaitu :-

a)     Wajib Muqayyad Muwassa` - sesuatu pekerjaan/ibadah boleh dilakukan dalam tempoh masa yang panjang sama ada diawal,ditengah atau diakhir.Contohnya kewajipan menunaikan solat fardhu zuhur yang waktunya amat panjang dan boleh dilakukan sama ada pada awal waktu atau akhirnya.Namun begitu,tuntutan menyegerakan solat adalah lebih afdhal berdasarkan sabda Rasulullah SAW ;

“ Sebaik- baik amal ibadah ialah solat yang dikerjakan diawal waktu ”[3]
b)      
Wajib Muqayyad Mudayyaq – sesuatu pekerjaan/ibadah dilakukan dalam tempoh masa yang telah dihadkan. Sebagai contoh,kewajipan menunaikan puasa Ramadhan tertakluk dibawah hukum ini kerana masa untuk menunaikannya adalah amat pendek dan ditentukan hanya pada bulan Ramadhan berdasarkan sabda baginda SAW :

“Apabila kamu melihat anak bulan,maka berpuasalah. Dan apabila kamu melihat anak bulan Syawal, maka hendaklah kamu berbuka. Maka jika tidak nampak olehmu,maka hendaklah kamu perhitungkan jumlahnya hari dalam satu bulan”[4]

Wajib berdasarkan kadar yang ditentukan

 Wajib kategori ini terbahagi juga kepada dua pecahan kecil iaitu :

a)     Wajib Muhaddad – Ibadah yang telah ditentukan syarak kadar yang seperti dari sudut ibadahnya mengerjakan zakat, diat, nazar dan dari sudut muamalahnya seperti penetapan kadar jual beli diantara peniaga dan penjual dengan kerelaan. Hal ini merujuk kepada dalil-dalil berikut:

“ Tidak ada sedekah (zakat) pada biji dan kurma kecuali apabila mencapai lima wasaq( ±700kg)”[5]

Telah bersabda Rasulullah SAW: “ Baru sahlah jual beli sekiranya ia berlaku dengan kerelaan keduanya”[6]

“Barang siapa bernazar mengerjakan sesuatu taat,hendaklah ia menunaikan nazarnya. Dan barang siapa bernazar mendurhakai Allah, maka janganlah ia mendekainya”[7]

a)     Wajib Ghayr Muhaddad -  Ibadah yang tidak ditentukan syarak kadar yang tertentu. Contohnya dari sudut sosial,  sedekah dan membelanjakan harta ke jalan Allah sangat dituntut keatas umat Islam. Hal ini merujuk kepada dalil-dalil berikut :

“Keluarkanlah nafkah di jalan Allah,dan janganlah kamu menjerumuskan diri dengan tanganmu sendiri kedalam kebinasaan. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”[8]

 WAJIB BERDASARKAN TUNTUTAN

Wajib kategori ini terbahagi kepada 2 pecahan iaitu :

a)     Wajib Muayyan – Pekerjaan yang telah dituntut syarak utk dilaksanakan oleh setiap mukallaf tanpa ada pilihan lain spt solat 5 waktu, puasa dan memulangkan barang yang dirampas/ hutang berdasarkan dalil berikut:

“Pinjaman itu wajib dikembalikan dan orang yang menjamin dialah yang berhutang, dan hutang itu wajib dibayar”[9]

“Dan dirikanlah solat,keluarkanlah zakat dan tunduklah (ruku`) bersama-sama orang yang ruku`”[10]

b)     Wajib Ghayr Mua`yyan – Pekerjaan yang telah dituntut syarak utk dilaksanakan oleh setiap mukallaf  dengan diberi pilihan, terpulanglah kepada seseorang untuk memilih mana-mana yang dia sukai seperti kafarah sumpah , diberi 3 pilihan iaitu memberi makan 10 org miskin atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Hal ini berpandukan dalil berikut: 

“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu”.[11]

  Wajib berdasarkan pelaku

Wajib kategori ini terbahagi kepada 2 pecahan iaitu :

a)     Wajib `ayni –  kewajipan yang dituntut ke atas setiap mukallaf yakni perkara fardu ain yang menjadi tanggungjawab ke atas diri masing-masing. Contohnya, kewajipan menunaikan rukun Islam bagi setiap manusia mukallaf. Hal ini disabitkan dengan nas yang ada menyebut mengenainya berbunyi : 

“Dibina Islam itu atas 5 perkara: Menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu haji bagi sesiapa yang mampu melakukannya.”[12]

b)     Wajib kifa`i –Kewajipan yang dituntut syarak dengan tuntutan yang pasti (qat'ie) kepada sebahagian drp masyarakat, bukan setiap seorang mukallaf. Jika dilakukan oleh sebahagian drp mereka, maka sudah memadai. Tetapi, jika tiada seorangpun di kalangan mereka melakukannya, maka seluruh mereka berdosa  seperti solat jenazah berdasarkan dalil yang berbunyi :

"Sembahyanglah kamu ke atas orang-orang yang telah mati."[13]


[1] Surah Al-Imran Ayat 97
[2] Hadis riwayat At-Tarmizi
[3] Hadis riwayat At-Tarmizi dan Hakim
[4] Hadis riwayat Bukhari,Muslim,Nasai` dan Ibn Majah
[5] Hadis riwayat Muslim
[6] Hadis Riwayat Ibn Hibban dan Ibn Majah
[7] Hadis Riwayat Bukhari Al-Jami`ush Shagier 2:182
[8] Surah Al-Baqarah Ayat 195
[9] Hadis Riwayat At-Tarmizi dan Abu Dawud
[10] Surah Al-Baqarah Ayat 43
[11] Surah Al-Maidah Ayat 89
[12] Mafhum hadis Ibn `Umar yg disepakati kesahihannya
[13] Hadis riwayat Ibn Majah


Sumber: Bahan Assignment subjek Usul Fikh saya  semester ini.
p/s: Sebarang kekhilafan harap dimaafkan,hanya berniat untuk berkongsi sedikit bahan yang berjaya dihadam dari pelbagai sumber rujukan.Apa yang baik datang dari Allah,kekurangan itu datang dari saya sendiri sebagai seorang manusia biasa ..wallahualam..semoga Allah memudahkan anda semua,syukran!:)

2 comments:

Anonymous said...

alhamdulillah...membantu saya..terima kasih sangat2

Mawar Merah Jambu said...

Assalamualaikum. Terima kasih di atas perkongsian ilmu yang bermanfaat. Mohon share untuk dijadikan rujukan dalam peperiksaan. Semoga Allah membalas segala jasa baik kamu. InsyaAllah, mudah-mudahan, Amin.

Post a Comment

komen anda..inspirasi saya untuk menulis...tinggalkan pesanan ya?insyaAllah,saya akan balas..

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers