Pages

Sunday, October 3, 2010

PART 3 : Penemuan saintifik - WUDUK DAN KESIHATAN MANUSIA


IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS AND MERCIFUL

Islam mensyariatkan pengambilan air sembahyang atau berwuduk sebelum menunaikan sesuatu ibadah setiap hari. Hal ini melambangkan betapa tingginya nilai berwuduk dipandang didalam menyempurnakan ibadah selain memiliki khasiat dan rahsianya yang tersendiri terutamanya dari sudut kesihatan.Tidak ramai yang menyedari hakikat ini bahkan ketertiban dan kesempurnaan dalam pengambilan wuduk seringkali gagal dititikberatkan umat Islam kini.Firman Allah:

“….Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-oarang yang menyucikan diri”[1]

Banyak penemuan-penemuan saintis Barat pada hari ini yang jelas menunjukkan kebaikan berwudhu` ini dari sudut kesihatan[2]. Menurut Dr.Magomed Magomedov dari Department Of Man`s General Hygiene and Ecology di Akademi Perubatan Daghestan State dalam sebuah artikelnya[3] telah melaporkan, dengan berwuduk ia akan merangsang pusingan biologi manusia dengan mengaktifkan kembali kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai Kawasan Aktif Biologi( Biologi Active Spots). Bangsa Cina telah banyak mengkaji ilmu refleksologi dan mereka meyakini sekiranya kawasan aktif biologi ini dirangsang ,ia turut akan merangsang sistem saraf sekaligus memberikan kesan positif kepada tahap kesihatan badan. Firman Allah:

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan salat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, ……….” [4]

Dari firman Allah ini , kebenarannya telah terbukti apabila seorang pengkaji Mukhtar Salem telah melaporkan dalam buku tulisan beliau[5] bahawa amalan berwuduk dapat mencegah kanser daripada berlaku. Menurut kajian semasa, salah satu diantara sebab berlakunya kanser ialah bahan kimia yang melekat pada kulit badan seseorang dan apabila ianya dibersihkan melalui wuduk, pencegahan kanser dapat dikurangkan kerana bahan pencemaran ini telah dibuang semasa pengaliran air wuduk berkenaan dan ini sekaligus akan menjamin tahap kesihatan yang optima.

Selain itu,menurut Dr.Magomed juga ,perbuatan menyentuh muka ketika berwuduk akan merangsang saraf bagi memberi kekuatan baru ( recharge ) kepada organ-organ dalaman serta sistem saraf keseluruhannya. Malah,ketika pembasuhan kaki kanan dilakukan dengan dibengkokkan dan digosok perlahan,ia akan merangsang sistem saraf untuk memperbaiki sistem tulang,usus,pancreas,hempedu,tiroid (thyroid) dan kawasan pinggang ( lumbar area ).Sistem saraf turut akan memperbaiki kalenjar pituitary dan kawasan otak yang mengawal sistem endokrin ketika pembasuhan kaki kiri dilakukan.Subhanallah!Menakjubkan bukan.Inilah keindahan ibadah didalam Islam yang tidak mungkin disangkal lagi,kerana ketepatannya selari dengan kebenaran-kebenaran yang dibawa Al-Quran.



[1] Surah Al-Baqarah ( Ayat 222)

[2] Rujuk rajah 5 di muka surat 20

[3] Muslim Rituals and their Effect on the Person`s Health (Ibadah Muslim dan Kesannya terhadap kesihatan seseorang)

[4] Surah Al-Maidah (Ayat 6)

[5] Prayers : A Sport for The Soul And Body ( The Arab Modern Center ,Cairo,1990,p 52 )

Takbir!!Allah Maha Besar!


nukilan : durrahnur

PART 2 : Penemuan saintifik - HAKIKAT PENCIPTAAN ALAM SEMESTA...


IN THE NAME OF ALLAH..THE MOST GRACIOUS AND MERCIFUL

Memasuki ke bahagian kedua ini,kita akan melihat sejauh mana ketepatan perincian Al-Quran dengan penyelidikan yang telah dijalankan para saintis.Hakikatnya,Allah swt telah mencabar manusia didlm kalamullah dengan firmanNya:

“ Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri.Sehinggalah jelas bagi mereka Al-quran itu benar…”[1]

Allah S.W.T. memperlihatkan makhluk-makhluknya setiap penjuru dengan pengetahuan yang hadir dengan kebenaranNYA dan salah satu daripadanya ialah berdasarkan daripada kajian-kajian sains kerana penemuan-penemuan hari ini telah pun disentuh Al-Quran ratusan tahun sebelumnya.Salah satu daripada kebesaran ciptaan Allah ialah penciptaan alam semesta yang giat dibahaskan saintis-saintis Barat masa kini. Firman Allah S.W.T :

“Kemudian Dia menuju ke langit dan (langit) itu masih berupa asap, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi, “Datanglah kamu berdua menurut perintahKu dengan patuh atau terpaksa.” Keduanya menjawab, “Kami datang denga patuh.” Lalu diciptakanNya tujuh langit dalam dua masa dan pada setiap langit Dia mewahyukan urusan masing-masing. Kemudian langit yang dekat (dengan bumi), Kami hiasi dengan bintang-bintang, dan (Kami ciptakan itu) untuk memelihara. Demikianlah ketentuan (Allah) Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui.”[2]

Al-Quran sendiri dengan jelasnya telah menyatakan bahawa langit dan permulaan kejadiaannya adalah dari awan/asap( dukhan ).Bermula daripada asap inilah lahirnya bintang-bintang serta galaksi yang disusuli dengan kelahiran sistem suria dan bumi. Malah As-Syeikh Said Hawa turut membahaskan hujah yang sama dalam kitab penulisannya; “ Sesungguhnya memang sudah ada suatu keyakinan sebelum terjadinya bintang-bintang,keadaan di angkasa raya adalah seperti dalam bentuk gas seperti asap.” [3]

Sebaliknya, saintis-saintis hari ini berbeza-beza mentafsir permulaan kejadian alam semesta ini. Namun begitu, setelah Edwin Hubble (1929) mengembangkan penemuannya menerusi teleskop Hubble, dunia mulai memahami proses penciptaan alam semesta. “Teori Big Bang-nya menjelaskan tentang dentuman besar yang melahirkan planet, matahari, satelit, asteroid, dan benda-benda langit lainnya. Dari ledakan itu, barulah tercipta unsur-unsur kimia, termasuk unsur hidrogen dan helium. Berhubungan dengan fenomena ini, Allah telah menjelaskan dalam firmannya:

“ Dan langit Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami dan kami benar-benar meluaskannya”[4]

Pada 16 Mac 2006,sebuah laman sesawang Space.Com telah melaporkan sepasukan saintis astronomi NASA telah menemui bukti-bukti baru yang mengukuhkan teori BIG-BANG. Mereka mendapati bahawa pada peringkat awal kejadian, alam ini lebih kecil daripada atom. Selepas itu,dalam masa satu perstrilion saat,ia mula mengembang menjadi alam yang luas sekaligus menampakkan kebenaran yang dibawa Al-Quran.[5]


GERAKAN MATAHARI,BULAN DAN BUMI

Al-Quran telah menjelaskan bahawa matahari memiliki batasan peredaran tertentu dan sesuai dengan penemuan sains hari ini,yang menyatakan bahawa matahari serta angkatan kumpulannya itu sendiri bergerak sejauh 19 km ke tempat yang kedua. Ini dapat dirujuk kepada firman Allah yang berbunyi :

Matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Mahaperkasa lagi Maha Mengetahui. Telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua. Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.” [6]

Sesungguhnya , pengetahuan ini ditemui oleh para ilmuwan moden pada permulaan abad ke 20,setelah munculnya penemuan astronomi yang menyatakan bahwa matahari memiliki gerakan hakiki di ruang angkasa dengan ukuran dan arah yang tertentu seperti yang telah dijelaskan sebelumnya.Oleh itu,sekiranya matahari turut memiliki gerakan khas diatas paksinya sendiri,demikianlah jua perjalanan sang bulan dan bumi mengikut kadar ketentuan Ilahi.Hal ini sendiri telah disahkan oleh pakar-pakar astronomi serta dilaporkan secara meluas di laman-laman sesawang (website)[7].

Penemuan semasa turut mengesahkan bahawa matahari turut bergerak mengelilingi galaksi bernama Bimasakti(Milky Way)[8] dan ia bergerak mengelilingi bahagian tengah galaksi dengan kelajuan sejauh 220 km/saat.Justeru,ia memerlukan masa selama lebih kurang 225 juta tahun bagi melengkapkan satu pusingan mengelilingi bahagian nukleus galaksi ini.Oleh itu, benarlah kata-kata Allah dalam Surah Yasin Ayat 38 diatas yang mengisyaratkan objek-objek di angkasa raya, selain berputar diatas paksi masing-masing,ia turut beredar mengelilingi pusat galaksinya mengikut kadar ketetapan Allah. Firman Allah:

“Allah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar menurut waktu yang telah ditentukan. Dia mengatur urusan (makhlukNya) dan menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNya), agar kamu yakin akan pertemuan dengan Tuhanmu.” [9]

“ Dan Dialah yang menciptakan malam dan siang,matahari dan bulan. Kesemuanya beredar (yasbahuun) dalam falaknya”[10]

Seperkara yang menarik perhatian saya disini, ialah bagaimana Allah menafsirkan perkataan yashabuun didalam firmanNYA yang melambangkan banyak. Said Hawa didalam kitabnya [11] menjelaskan bahawa perkataan yashabuun adalah perkataan perbuatan yang digunakan bagi menjelaskan objek yang berjumlah banyak melebihi dua.Jika dikaji daripada ayat diatas,Allah S.W.T hanya membicarakan mengenai matahari dan bulan, namun apa yang menarik disini ialah dimanakah tersembunyinya objek yang ketiga bagi keterangan firman Allah ini?Jika direnung secara kasar,kejadian malam dan siang pula tidaklah merujuk kepada objek sebaliknya lebih membawa kepada fenomena alam yang berlaku di muka bumi.

Oleh yang demikian, disebabkan Allah mengatakan fenomena malam dan siang berputar( yashabuun), maka secara tidak langsung ia menjelaskan bumi turut berputar diatas paksinya sendiri dan hasil kejadian itu, lahirlah pula fenomena malam dan siang.Subhanallah,betapa saintifiknya dalil Al-Quran yang kenyataannya selari dengan penemuan semasa[12].Sesungguhnya,tiada perkara yang benar melainkan apa yang disampaikan Al-Quran.

Sesungguhnya kami Telah mengutus rasul-rasul kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata …[13]

wallahualam..
sambungannya berikutnya..tggu ye...

[1] Surah Al-Fussilat ( Ayat 53 )

[2] Surah Al-Fussilat ( Ayat 11-12)

[3] Al-Asas fi Al-Tafsir ( rujukan Al-Quran Saintifik)

[4] Surah Az-Zariyat ( Ayat 47 )

[5] Penemuan berdasarkan data yang disalurkan satelit Wilkinson Microwave Anisotropy Probe NASA yang dilancarkan pada 2001(rujuk Rajah 1 di muka 18)

[6] Surah Yasin (Ayat 38-40)

[7] Wikipedia Encyclopedia (Rotations)-en.wikipedia.org

[8] Rujuk rajah 2 di muka 18

[9] Surah Ar-Rad (ayat 2)

[10] Surah Al-Anbiya` (Ayat 33)

[11] Al-Asas fi al-Tafsir ( rujuk Al-quran saintifik)

[12] Rujuk rajah 3 dan 4 di muka surat 19

[13] Surah Al-Hadid ( Ayat 25)

penemuan saintifik selari dengan alQuran PART 1


IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS AND MERCIFUL

Istilah Al-I`jaz Al-`Ilmiyy (kemukjizatan ilmiah) Al Qur’an mengandungi makna yang menerangkan bahawa sumber ajaran Islam telah mengkhabarkan kepada kita mengenai fakta-fakta ilmiah yang telah ditemui dan dibuktikan oleh eksperimen-eksperimen sains manusia hasil kajian dan penyelidikan semasa, dan terbukti tidak dapat dicapai mahupun diketahui dengan terperinci semasa zaman Rasulullah S.A.W . Walaubagaimanapun, kemajuan ilmu pengetahuan telah menyingkap rahsia-rahsia agung Al-Quran ini.

Kemukjizatan ilmiah ini telah menunjukkan kesepaduan tanda-tanda kebenaran yang dibawa Al-Quran dengan penciptaan alam semesta yang berhubungkait pula dengan kekuasaan Allah S.W.T. Sesungguhnya,pemilik hati-hati yang bersih dan terang sentiasa mengakui kekuasaan Allah ini dan sentiasa tunduk kepada kebenaran tauhid yang dibawa Rasulullah,namun bagi yang ingkar pelbagai alasan dan helah telah dicari bagi menyembunyikan kebenaran yang dijumpai dan telah berada didalam kesesatan seperti firman Allah :

“Dan demikianlah, Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al-Quran) dengan perintah kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al-Kitab ( Al-Quran ) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu,tetapi Kami menjadikan Al-Quran itu sebagai cahaya yang Kami berikan petunjuk dengan sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami.Dan sesungguhnya Kami benar-benar member petunjuk kepada jalan yang lurus.”[1]

Syeikh Abdul Majid Az-Zindani turut mengulas tentang mukjizat ilmiah dalam Al-Quran ini; “…datang ilmu ujikaji moden yang mendalami kajian-kajian yang luas di dalam pelbagai bidang, dengan bantuan alat-alat yang canggih dan setelah beberapa penyelidikan bersama seangkatan pengkaji-pengkaji lain , terbentuklah satu bahagian di samping satu bahagian (yang lain) dan apabila fakta tersebut telah siap sempurna, tiba-tiba didapati ianya telah pun dinyatakan di dalam kitab Allah (Al-Quran) sebelum 1400 tahun [yang lalu]. Lalu orang ramai pun mendapat tahu bahawa Al-Quran ini diturunkan dengan ilmu Allah, dan bukannya [datang] dari sisi seorang utusan yang [berada] di zaman .. kerana sebelum 1400 tahun lalu tidak ada sebarang peralatan kajian saintifik…..[2]

Kemukjizatan ilmiah ini menjadi suatu sesuatu penanda aras yang dapat membuka mata hati kita untuk menilai sendiri kebenaran yang dibawa Al-Quran dengan teori-teori saintifik yang meluas pada hari ni.Oleh itu, seharusnya perkara ini menjadi suatu dorongan yang kuat kepada kita untuk terus beriktikad dengan kalimah tauhid yang benar. Antara i’tibar yang dapat diperoleh dalam mukjizat ilmiah Al-Quran adalah ia dapat motivasi bagi manusia dalam mengikuti perkembangan sains dengan kebenaran Al-Quran . Allah Ta’ala berfirman :

“Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.”[3]

Namun begitu, kemukjizatan ilmiah didalam Al-Quran tidak sepatutnya meletakkan Al- Quran itu sebagai kitab sains. Namun ia dapat memberikan isyarat untuk melakukan kajian lebih jauh terhadap perkembangan sains, sebagaimana yang disebut dalam Al -Quran :

“(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).…” [4]

sambungannya...... NUKILAN: durrahnur

[1] Surah As-Syura ( Ayat 52 )

[2] Disampaikan oleh Syeikh A M Az-Zindani pada sebuah kajian yang bertajuk Keajaiban Saintifik Di Dalam Al-Quran, 2002.

[3] Surah Sad ( Ayat 29 )

[4] Surah Al-Baqarah ( Ayat 143 )

nukilan:durrahnur

Ray Templates

berlari-lari ke kemuncak penantian..

Daisypath Graduation tickers